Ad

Saturday 17 September 2016

JDT lakar sejarah

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 SEPTEMBER 2016
 JDT lakar sejarah
JDT lakar sejarah Pemain JDT menjulang Tunku Ismail selepas perlawanan menentang Terengganu.
TARIKH 9 September 2016 menjadi detik bersejarah buat Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila dinobatkan sebagai juara Liga Super buat kali ketiga berturut-turut.

Kejayaan itu muncul selepas anak buah Mario Gomez menjinakkan Terengganu 3-0 di hadapan puluhan ribu penyokong fanatik Harimau Selatan di Larkin.

Lebih manis, gelaran hatrik itu sah milik JDT ketika saingan masih berbaki dua lagi perlawanan apabila meninggalkan pencabar terdekat, Felda United dengan 10 mata.

RAMUAN JUARA

BAYANGAN untuk JDT menempa hatrik musim ini sudah kelihatan ketika pusingan pertama Liga Super menutup tirainya 21 Mei lalu, apabila mereka menamatkan saingan awal dengan menduduki kedudukan teratas liga.

Menariknya, sepanjang 12 aksi liga, juara 2014 dan 2015 ini belum pernah tewas dengan mana-mana pasukan, sebaliknya mengumpul 30 mata hasil sembilan kemenangan dan tiga seri.

Pencapaian itu menyaksikan skuad Harimau Selatan mengungguli Liga Super mengatasi pencabar terdekat seperti Felda United, Selangor, T-Team dan Kedah.

KONSISTEN

MESKIPUN berdepan jadual padat melibatkan perlawanan Liga Super, Piala FA, Kelayakan Liga Juara-Juara Asia dan Piala AFC, JDT kekal konsisten sekali gus mencatatkan keputusan yang baik dalam setiap perlawanan.

Apatah lagi anak buah Mario Gomez ini sudah merangkul dua trofi iaitu Piala Sumbangsih dan Piala FA.

Lebih manis, kejayaan memenangi Piala FA mengesahkan skuad Harimau Selatan untuk bertanding dalam kempen Piala AFC bagi musim depan, dan ia sekali gus sudah merealisasikan sasaran diletakkan pihak pengurusan dan barisan kejurulatihan.

KEBAL

DARIPADA 10 perlawanan di laman sendiri, JDT mencatat sembilan kemenangan dan hanya satu keputusan seri.

Keputusan ini boleh dianggap membanggakan dan hanya Kedah sahaja muncul satu-satunya pasukan yang mampu mengikuti jejak langkah JDT apabila tidak kalah semasa beraksi di tempat sendiri (berbaki dua perlawanan).

Sepanjang beraksi di Larkin, JDT mengumpul 28 mata, manakala ketika bertandang ke gelanggang lawan skuad Harimau Selatan mengumpul 24 hasil tujuh kemenangan dan tiga seri.

TUAI HASIL

MENURUT Pembantu Ketua Jurulatih 1 JDT, Paul Longhi, kejayaan JDT meraih kejayaan hatrik bukan terletak pada faktor nasib namun ia lebih kepada usaha keras berpanjangan warga skuad Harimau Selatan.

Malah katanya, komitmen tinggi pemain berjaya membantu merealisasikan sasaran ditetapkan pemilik kelab JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Kejayaan ini juga tidak akan terhasil tanpa sokongan padu penyokong. Apa pun, sepanjang musim kami berusaha gigih dan kami puas dengan hasilnya," ujar Longhi.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE  17 SEPTEMBER 2016

No comments:

Post a Comment