PERTAHANAN Johor DT Aidil Zafuan (kanan) mengasak pemain South China.
Kuala Lumpur: Kesilapan barisan pertahanan pada masa kecederaan membawa padah apabila Johor Darul Ta’zim (Johor DT) sekadar seri 1-1 dengan South China pada aksi suku akhir pertama Piala AFC di Stadium Mongkok, malam tadi biarpun satu ketika mendahului 1-0 hampir sepanjang saingan.
Membariskan pasukan terkuat, anak buah Mario Gomez pantas mengasak kubu tuan rumah menerusi gandingan Juan Martin Lucero dan Jorge Pereyra Diaz yang kerap menghadirkan masalah kepada benteng pertahanan lawan.
Benteng tuan rumah diuji seawal minit ketujuh menerusi rembatan kaki kiri Lucero yang sedikit tersasar sebelum ketua pasukan, Safiq Rahim pula mencuba menerusi sepakan percuma yang turut gagal menemui sasaran pada minit ke-10.
Hasil asakan bertali arus skuad Harimau Selatan itu, akhirnya Diaz yang turut mengungguli senarai penjaring terbanyak saingan Liga Super dengan 17 gol, berjaya mencetak namanya selaku penjaring melalui percubaan leretnya pada minit ke-22.
Jaringan itu nyata menyentap semangat pemain tuan rumah dengan anak didik Ricardo Rambo kembali menyusun rentak untuk memburu gol penyamaan.
South China sepatutnya dapat menghasilkan gol pada minit ke-29 melalui Mahama Awal tetapi pemain Cameroon itu gagal menterjemahkan peluang kepada gol. Manakala peluang terbaik pelawat pula adalah melalui Lucero pada minit ke-38 tetapi rembatannya berjaya ditepis keluar oleh Leung Hing Kit.
Bersambung babak kedua, Johor DT terus garang mencari bekalan selesa dengan Lucero sekali lagi mencuba nasib menerusi tandukan selepas menerima hantaran lintang S Kunanlan pada minit ke-51 namun percubaannya itu tersasar.
Penjaga gol Johor DT, Izham Tarmizi Roslan bertindak cemerlang pada minit ke-66 apabila berjaya menepis sepakan kencang Awal buat menyelamatkan seketika kubu pelawat.
Ketika permainan seakan berpihak Johor DT, Nikola Komazec muncul wira tuan rumah apabila berjaya menjaringkan gol pada minit kedua masa kecederaan hasil kesilapan tonggak pertahanan Marcos Antonio untuk menewaskan Izham.
Kedua-dua pasukan akan bertemu pada aksi kedua di Larkin, 20 September ini bagi memburu tiket ke separuh akhir.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 September 2016 @ 8:19 AM
No comments:
Post a Comment