Pada hari ini dalam tahun 1956,
kerja-kerja pembinaan Stadium Merdeka telah dimulakan. Pembinaan stadium ini
dilakukan atas desakan Persatuan Bola Sepak Selangor dan Persatuan Bola Sepak
Malaya selepas Perang Dunia Kedua kerana stadium yang terdapat di Jalan Ampang
tidak dapat digunakan lagi. Pada 15 September 1955, Jawatankuasa Perancangan
Pembinaan Stadium diwujudkan bagi mengkaji pelan dan kos pembinaannya. Sebanyak
160 pelan cadangan dikemukakan kepada kerajaan dengan kos pembinaan dianggarkan
berjumlah $ 2.3 juta. Tetuan K.C Boon Co. Ltd dan Tetuan Lim Quee and Sons
telah dilantik sebagai kontraktor utama serta pengendaliannya dilakukan oleh
Jabatan Kerja Raya Tanah Melayu. Pada 15 Februari 1957, YTM Tunku Abdul Rahman
Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu telah meletakkan batu asas
stadium ini. Pembinaan stadium ini dipercepatkan bagi membolehkan acara
sambutan kemerdekaan Tanah Melayu dapat dilakukan pada 31 Ogos 1957. Pada 21
Ogos 1957, pembinaan Stadium Merdeka selesai dilakukan dan pengendaliannya
diserahkan kepada Lembaga Penguasa (Board of Control). Stadium Merdeka telah
dibuka kepada orang ramai buat pertama kalinya pada 24 hingga 29 Ogos 1957.
Upacara perasmian stadium ini telah disempurnakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman
pada 30 Ogos 1957. Pembinaan Stadium Merdeka pada hari ini dalam tahun 1957
menjadi lambang kemegahan negara kerana ia bukan sahaja menjadi lokasi bagi
acara-acara sukan tetapi juga menjadi lokasi bagi acara-acara penting negara.
SUMBER- http://www2.arkib.gov.my/
No comments:
Post a Comment