Ad

Saturday, 24 September 2016

Sejarah belum dirungkai

Siti Salmiah A Hamid
salmiah@hmetro.com.my
 
Pernah dikenali sebagai Bukit Emas Mini, Pekan Batu Arang memiliki banyak kisah sejarah yang belum dirungkai dan dipulihara.

Mengambil nama sempena aktiviti arang batu di sini, perlombongan berkenaan bermula hasil inisiatif pelombong arang batu British, John Archibald Russell yang menubuhkan Malayan Collieries Ltd pada Jun 1913.

Disebabkan permintaan arang batu yang tinggi, aktiviti perlombongan itu terpaksa beroperasi tanpa henti dengan 5,000 pekerja bertugas dalam sistem tiga giliran sehari.

Sehingga tahun 1930-an, pekan ini turut menempatkan Jabatan Penerbangan sebagai isyarat awal trafik sebelum kapal terbang mendarat di Subang. Selain itu, terdapat balai polis, stesen kereta api pengangkut arang batu, kilang batu-bata, rumah pekerja lombong dan banglo untuk pegawai British dan pengurus lombong.

Kawasan ini memiliki lebih 10 terowong bawah tanah dan tempat saluran udara (air shaft) yang membekalkan udara kepada pekerja di dalam terowong dengan kedalaman 1,000 kaki di bawah tanah.

Namun kini, hanya sesetengah bangunan lama masih wujud manakala landasan kereta api dan hospital sudah tidak kelihatan jejaknya.

Pada tahun 1960, perlombongan arang dihentikan kerana hasilnya makin berkurangan dan tidak lagi ekonomik untuk diteruskan.

Hampir 15 juta tan arang batu dilombong selama lebih 47 tahun dan nilainya bersamaan kira-kira RM163 juta pada 1960.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 12:28 PM

No comments:

Post a Comment