Ad

Tuesday, 13 September 2016

Bulan Membaca dan surat layang!

ARKIB : 01/08/1998
SEJAK tahun 1995, bulan Ogos merupakan Bulan Membaca. Bulan Ogos sebenarnya ditunggu-tunggu oleh para pencinta buku. Bulan inilah aktiviti pembacaan dan perbahasan buku dipusatkan. Bulan Pesta Buku. Bahkan pada bulan Ogoslah pelbagai hadiah buku dianugerahkan kepada penulis dan pembaca yang cemerlang.

Sempena Bulan Membaca, banyak program diatur yang bertujuan untuk menggalakkan masyarakat kita membaca. Membaca bukan sekadar membaca apa yang boleh dibaca sahaja. Tetapi membaca untuk ilmu dan maklumat. Membaca untuk mengembangkan daya fikir dan memperluaskan ufuk minda. Membaca untuk memperkaya jiwa dan wawasan. Dan membaca untuk kebenaran.

Sepuluh tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan 1988 sebagai Tahun Pembaca. Setelah 10 tahun berlalu, setelah pelbagai tema membaca dicanang dan setelah jutaan ringgit dilaburkan untuk berkempen agar masyarakat kita lebih rakus membaca, ada baiknya kita bertanya: Apa hasilnya setakat ini? Apakah masyarakat kita kini ghairah membaca? Apakah pasaran buku berkembang pesat? Apakah penulis dan penerbit buku mampu menghasilkan buku serta majalah yang bermutu? Apakah industri perbukuan telah teguh?

Soalan-soalan ini saya kemukakan kerana sehingga kini saya masih tertanya-tanya tentang sikap serta kepekaan kebanyakan rakan-taulan saya terhadap aktiviti pembacaan. Tanpa menuding siapa, sebahagiannya masih dingin terhadap buku dan pembacaan. Sering kali saya mengajukan beberapa buah buku best-seller, khususnya di Barat, kepada beberapa orang rakan saya yang memiliki ijazah Ph.D. Malang, hampir semuanya dingin dan segera mengubah tajuk perbualan.

Ada kemungkinan pengalaman saya itu merupakan suatu pengecualian. Tetapi, ada juga kemungkinan besar bahawa pengalaman saya itu merupakan realiti semasa masyarakat kita yang ternyata masih dingin terhadap buku, perbukuan, pembacaan dan intelektualisme.

Hal ini dapat juga dirumuskan menerusi hasil kajian profil pembaca 1996 oleh Perpustakaan Negara. Biarpun tahap literasi meningkat kepada 93 peratus tetapi hanya 87 peratus yang mengamalkan tabiat membaca. Maknanya, kira-kira 60 peratus rakyat yang boleh membaca tidak membaca. Dan, kebanyakan rakyat Malaysia didapati hanya membaca bahan-bahan ringan seperti surat khabar (79%), majalah (47%), buku (52%) dan komik (32%). Pembacaan buku masih terhad, iaitu secara purata dua buah buku setahun.

Data-data ini menjelaskan bahawa kebolehan membaca tidak didukung dengan skema pembacaan yang sewajarnya. Itulah sebabnya bahan-bahan ringan masih merupakan bahan bacaan utama. Bahan bacaan bermutu khususnya buku ilmiah hanya digunakan sebahagian besarnya oleh para pelajar dan ilmuwan. Itupun masih banyak aspek yang perlu diperbaiki.

Bagaimanapun, pembacaan bahan-bahan yang merosakkan nampaknya terus subur, khususnya surat layang. Dalam arena politik ketika ini, surat layang adalah salah satu media utama untuk berkomunikasi secara lebih bebas dan kurang risiko duniawi. Hal ini juga berleluasa di kampus. Saban minggu, saya menerima pelbagai surat layang terutamanya tentang kepimpinan sesebuah universiti. Bahkan sejak kebelakangan ini surat layang turut menembusi sektor korporat.

Hal ini amat mendukacitakan kerana surat layang melayang-layang di kalangan intelegensia yang paling berpengaruh _ politikus, sarjana dan ahli korporat. Yang anehnya, setiap kali tersebar surat layang, kebanyakan penerimanya menghebahkan secara mulut ke mulut. Perlu disebutkan juga bahawa tidak semua isi surat layang itu diyakini. Bagaimanapun keghairahan membaca surat layang diasosiasikan dengan keghairahan kita untuk mengetahui perkembangan terkini sesuatu isu.

Melihat keadaan ini ada baiknya kita fokuskan Bulan Membaca tahun ini, atau tahun-tahun akan datang, terhadap pembacaan bahan-bahan yang berautentik. Maknanya, membaca hanya bahan bacaan berkualiti isinya dan yang diketahui reputasi pengarangnya.

Sementara bahan yang tanpa nama pengarang _ biarpun tampak 'benar' dan 'real' _ sewajarnya dianggap sebagai 'sampah' yang tidak perlu dibaca kerana tiada penanggungjawapan terhadap kebenaran faktanya. Barangkali fitnah. Demikianlah sewajarnya sikap kita terhadap surat layang.

* Dr. Zaini Ujang ialah Profesor Madya di Universiti Teknologi Malaysia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_04.htm#ixzz4KBvzHxpe © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment