Ad

Friday, 16 September 2016

Piya optimis TRW mara separuh akhir

MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD
17 SEPTEMBER 2016
 Piya
Piya Piya yakin Kelantan mampu padam kelebihan PDRM
KAPTEN Kelantan, Mohd Badhri Radzi optimis pasukannya mampu memadamkan kelebihan agregat dimiliki Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam saingan suku akhir kedua kempen Piala Malaysia di Stadium Hang Jebat, malam ini.

Mohd Badhri atau lebih dikenali panggilan Piya berkata, keyakinan itu bersandarkan pengalaman pasukannya yang berupaya bangkit mencipta kejutan meskipun berada dalam situasi terdesak untuk meraih kemenangan pada pertemuan fasa kalah mati itu.

Menurutnya, Kelantan sangat memerlukan jaringan awal dan sekiranya ia dapat direalisasikan dalam babak pertama, dia yakin peluang wakil tunggal negeri pantai timur itu untuk melangkah ke separuh akhir kembali cerah. 

“Tak mustahil Kelantan akan layak (ke separuh akhir) cuma kami kena guna peluang yang ada nanti sebaik mungkin dan tidak melakukan sebarang kesilapan mudah apabila berdepan PDRM malam esok (ini).

“Saya percaya kami boleh melakukannya (kalahkan PDRM) kerana pasukan ini mempunyai ramai pemain berkualiti. Kami hanya tidak bernasib baik apabila tewas  menerusi dua gol awal di tempat sendiri, bulan lalu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada suku akhir pertama di Kota Bharu, 28 Ogos lalu, The Red Warriors (TRW) tewas 1-2 kepada PDRM menerusi jaringan Muhamad Safuwan Baharudin dan Guilherme de Paula manakala gol tunggal tuan rumah disumbangkan Indra Putra Mahayuddin.

Perancang tengah itu memberitahu, pasukannya perlu bijak mengambil peluang di sebalik persiapan tempang skuad bimbingan Fauzi Pilus susulan penggantungan dua tonggak mereka, K Reuben Thayaparan dan de Paula, pada pertemuan timbal balik itu.

“Saya sedar ketiadaan dua pemain itu memberi kelebihan buat Kelantan tetapi dalam masa sama saya masih bersikap realistik mengatakan PDRM bukan calang-calang pasukan dan kami tidak akan memandang mudah pertemuan ini,” katanya.

Mengulas tekanan ke atas pasukannya dalam menghadapi aksi suku kedua malam ini, jeneral padang berusia 34 tahun itu tidak menolak perkara tersebut namun menegaskan betapa skuad Velizar Popov sudah cukup bersedia untuk berdepan The Cops.

“Tekanan memang ada lebih-lebih lagi berada dalam fasa seperti (kalah mati) ini tetapi kami sentiasa positif dan tak kisah walaupun bermain di Hang Jebat (stadium), kubu kuat pasukan lawan.

“Fokus kami adalah mara ke separuh akhir, itu sahaja. Kami ada Kecik (Wan Zaharulnizam Wan Zakaria), Wan Zack Haikal (Wan Noor) dan Indra Putra (Mahayuddin) yang boleh memikul tanggungjawab menjaringkan gol untuk pasukan ini,” katanya.

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE  17 SEPTEMBER 2016

No comments:

Post a Comment