Ad

Wednesday, 14 September 2016

Negara kita tanggungjawab kita

ARKIB : 31/08/1998
HARI ini kita menyambut Hari Kebangsaan yang ke-41. Sejak merdeka, pelbagai cabaran telah kita lalui. Kita telah melalui suasana kemelesetan dahulu, di tahun 70-an, 80-an, dan kini 90-an. Daripada zaman-zaman kemelesetan yang telah kita lalui, kali inilah nampaknya paling teruk.

Kita baru sahaja diberitahu bahawa pertumbuhan ekonomi untuk penggal kedua tahun ini di paras 6.8 peratus. Yang lainnya pada kali ini ialah bukan sahaja pasaran saham kita jatuh teruk, daripada bernilai RM900 bilion menjadi hanya RM207 bilion pada minggu lalu, tetapi nilai mata wang kita telah jatuh daripada RM2.50 untuk satu dolar Amerika kepada RM4.22 pada minggu lalu.

Kekayaan negara kita telah lenyap angkara mereka yang menganggap diri mereka hakim yang menentukan paras yang wajar bagi mata wang kita. Kuasa wang yang ada pada mereka telah digunakan untuk merosakkan sebahagian besar kehidupan masyarakat dunia sebelah sini. Ada yang memilih untuk mendapatkan bantuan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tetapi setelah dua tahun dalam krisis ini mereka masih lagi belum pulih malahan kebanyakannya menjadi bertambah teruk.

Bagi kita yang tidak berhajat untuk mendapatkan bantuan IMF, kita sering digambarkan oleh media asing dengan pelbagai gambaran, yang semuanya seolah-olah membaca talkin kepada orang yang mati. Terbaru dalam siri memburuk-burukkan negara kita ialah rencana majalah Asiaweek terbitan 28 Ogos lalu yang bertajuk, ''Siapa yang akan menyelamatkan Malaysia''.

Mereka yang gemar sangat memberikan pandangan serong tentang negara kita ini seolah-olah berasa tidak senang kerana kita enggan menerima bantuan daripada IMF. Mungkin sikap kita itu mereka anggap sebagai sikap tidak mengaku kalah dan mereka tidak mahu negara-negara yang dulunya dikenali sebagai 'Harimau Asia', yang menikmati pertumbuhan ekonomi purata melebihi 8 peratus selama sedekad, tidak mahu mengaku kalah.

Contohnya kita saksikan cabaran terbuka orang George Soros kepada kerajaan Hong Kong yang mengatakan ia telah meletakkan pertaruhan terhadap mata wang Hong Kong yang dianggap bernilai terlalu tinggi daripada sepatutnya. Hong Kong sendiri sudah mengalami kemelesetan tetapi ini tidak cukup bagi penyangak-penyangak ini selagi sesebuah negara itu tidak lingkup menurut tafsiran mereka.

Mereka menulis menuduh kita macam-macam. Misalnya kita dikatakan tidak mempunyai rancangan untuk menyelesaikan masalah kita, kita tidak mengakui hakikat sebenar seriusnya masalah ekonomi kita dan pelbagai tuduhan terhadap kerajaan kita. Namun kita sendiri menyaksikan niat buruk mereka. Sehari, hanya sehari, selepas Rancangan Tindakan Pemulihan Ekonomi dibentangkan pada 27 Julai lepas ini, badan-badan penarafan antarabangsa Moody's dan Standard and Poor's menurunkan taraf kredit negara kita, elok sikit daripada taraf 'junk bonds' (bon lunyai). Ini menyebabkan sebarang usaha kita untuk mendapatkan pembeli kepada bon-bon kita menjadi terlalu mahal sehinggakan persembahan ke luar yang dirancangkan terpaksa ditangguhkan.

Tidak cukup dengan tindakan badan-badan yang berpengaruh di masyarakat antarabangsa ini, kita juga terperanjat dengan berita yang kononnya kedutaan Amerika di negara ini dianggap sebagai satu-satunya sasaran serangan kumpulan yang menyerang Kenya dan Tanzania baru-baru ini. Berita itu secara tidak langsung akan menakut-nakutkan pelabur asing dan pelancong, terutama mereka yang dijangka datang menyaksikan Sukan Komanwel pada 11 September ini.

Tohmahan dan tuduhan terhadap negara kita ini tidak akan berhenti. Selagi kita bergigih untuk menyelesaikan masalah kita cara kita sendiri, selagi itulah bermacam-macam pandangan negatif akan muncul dari semasa ke semasa. Mereka yang menulis tentang kegelapan yang kita hadapi menganggap diri mereka yang paling layak mengkritik langkah-langkah yang kita ambil sambil mereka duduk selesa di kerusi-kerusi empuk dan mungkin berada di negara ini beberapa jam sahaja sebelum menulis sesebuah rencana.

Terpulanglah kepada kita semua membuktikan bahawa sebagai rakyat yang bersatu di negara ini, kita bertanggungjawab dan mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi sekarang. Kita perlulah memahami masalah ini sedalamnya dan rancangan tindakan pemulihan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan. Sebarang rancangan tindakan tidak akan bermakna jika tidak dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Inilah negara kita. Walau apa pun masalah dan cabarannya, inilah negara kita. Walaupun mungkin ada di kalangan kita yang gemar memperkecilkan kemajuan yang telah kita capai tidak kira bagaimana suasana latar belakangnya, tiada siapa boleh menafikan pencapaian kita sejak merdeka. Apakah kita sanggup membiarkan kemerdekaan kita hanyut begitu sahaja dengan kita akur kepada kehendak golongan tertentu?

Kita saksikan sekarang bahawa asas-asas ekonomi sesebuah negara tidak lagi menentukan aliran masuk wang tetapi sebaliknya aliran masuk wang menentukan asas-asas ekonomi. Oleh itu pendekatan yang kita perlukan harus berlainan dari masa-masa lalu. Sementara itu langkah-langkah reformasi ekonomi yang telah digariskan dalam Rancangan Tindakan Pemulihan Ekonomi, yang ada kaitan dengan kegiatan kita secara langsung atau tidak langsung, wajar kita laksanakan dengan cepat.

Sejajar dengan tema hari ulang tahun kemerdekaan kita hari ini, 'Negara Kita Tanggungjawab Kita', wajarlah bagi kita semua sedar akan tanggungjawab kita di masa kita dilanda kegawatan ekonomi ini. Kita harus sedar bahawa asas-asas ekonomi kita masih kukuh. Misalnya lebihan dagangan terkumpul untuk setengah tahun ini berjumlah RM22.1 bilion berbanding dengan defisit sebanyak RM2.8 billion untuk jangka masa yang sama tahun lepas. Untuk setengah tahun ini eksport bertambah 40.9 peratus berbanding dengan pertumbuhan import sebanyak 15.2 peratus. Hutang luar kita terus berada di paras yang rendah setakat AS$40.6 bilion pada 30 Jun '98 berbanding AS$45.2 bilion di akhir Jun '97.

Satu aspek yang jarang-jarang diterangkan oleh pegawai-pegawai bank ialah nisbah modal yang mengambil berat risiko sistem perbankan. Piawaian antarabangsa yang ditentukan oleh Bank Penyelesaian Antarabangsa (Bank of International Settlement) ialah di paras 8 peratus iaitu bererti setiap RM1, risiko yang diambil oleh pihak bank perlu disokong dengan modal sebanyak 12.5 sen. Apa yang dimiliki oleh bank-bank di Malaysia hari ini meningkat daripada 10.6 peratus di akhir Disember '97 kepada 11.2 peratus di akhir Jun '98.

Selain itu kadar inflasi juga merosot kepada 5.8 peratus pada Julai ini selepas memuncak ke paras 6.2 peratus pada Jun '98. Pelaburan asing secara langsung juga terus meningkat. Sebanyak 404 projek bernilai RM14.4 bilion diluluskan untuk setengah tahun '98 berbanding 759 projek bernilai RM25.8 bilion diluluskan untuk sepanjang tahun '97.

Deposit bank telah merosot daripada pertumbuhan tahunan sebanyak 21.3 peratus di akhir Disember '97 kepada 6 peratus di akhir Jun '98. Sokongan rakyat diperlukan dengan menambah deposit dengan bank-bank kita dan bukan bank-bank asing. Simpanan di luar pesisir hanya akan membantu usaha spekulator mata wang melakukan spekulasi ke atas mata wang kita sendiri. Tentulah kita tidak mahu membantu penyangak-penyangak ini. Negara kita adalah tanggungjawab kita.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_02.htm#ixzz4KHzRWzvb © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment