24 September 2016
JDT belum simpan taring
Pemain JDT, Mohd Amirul Hadi
Zainal meraikan jaringan bersama rakan-rakan ketika menentang T-Team pada
perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos Larkin hari ini. - Foto
Bernama
JUARA Liga Super 2016, Johor
Darul Ta'zim (JDT) ternyata masih belum puas meskipun sudah rasmi menjadi juara
buat tiga tahun berturut-turut apabila menjinakkan T-Team 5-1 dalam aksi kedua
terakhir saingan tersebut malam ini.
Beraksi di Stadium Tan Sri Dato
Haji Hassan Yunos, Larkin ternyata memberikan aura semangat kepada Harimau
Selatan yang dilihat masih belum menyimpan taring tatkala saingan liga musim
ini sudah mula melabuhkan tirainya.
Skuad kendalian Mario Gomez
bermula garang apabila beberapa percubaan hasil serangan bertali arus yang
dipamerkan JDT gagal menemui jaring gol.
Pada minit ke-4, percubaan
kapten pasukan, Amri Yahya hampir meletakkan Harimau Selatan di hadapan apabila
percubaan luar kotaknya berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.
Mimpi ngeri pasukan pelawat
bermula apabila Amirul Hadi yang tidak dikawal kemas pertahanan T-Team dengan
selesa menanduk masuk gol pendahuluan tuan rumah pada minit ke-5 hasil hantaran
Fadly Mazlan.
Tersentak dengan gol berkenaan,
gandingan import pasukan lawan, Makan Konate dan Patrick Dos Santos Cruz cuba melakukan
serangan balas namun masih gagal menggugat keampuhan pertahanan JDT.
Permainan kembali didominasi
Harimau Selatan apabila penyerangnya, Juan Martin Lucero dengan tenang menanduk
masuk hantaran lintang S Chanturu pada minit ke 26.
Lucero sekali lagi menjadi
penghukum pasukan pelawat apabila meledak masuk gol ketiga JDT selepas
melakukan sepakan volley bola muntah hasil percubaan Amri Yahya pada minit ke
34 .
Kealpaan jentera tengah JDT,
Garry Steven Robbat yang gagal mengawal bola dengan sempurna kemudiaannya
menjadi punca awang import The Titans, Patrick Dos Santos Cruz berjaya meledak gol pertama pasukan pada
minit ke 43.
Tatkala wisel penamat bagi
separuh masa pertama ditiupkan pemain lawan, Maiga Abdoulava pula memusnahkan
harapan pasukan selepas dirinya tertampan masuk hantaran dari S Chanturu sekali
gus menyumbang gol keempat JDT.
Babak kedua menyaksikan JDT
dianugerahkan sepakan penalti daripada pengadil, Zulkifli Ahmad apabila pemain
The Titan, Ahmad Takiyuddin Roslan menjatuhkan Pareyra Diaz dalam kotak penalti
pada minit ke 58.
Lucero yang gagal
menyempurnakan penalti tersebut bagaimanapun menebus kesilapannya apabila
berjaya menyumbat masuk gol kelima pasukan sekali gus melengkapkan hatrik pada
minit ke 61.
Sebelum perlawanan melabuhkan
tirai, penyerang lawan, Muhd Safawi Rased hampir menghadiahkan gol kedua
saguhati buat pasukan selepas mengalahkan penjaga gol Farizal Marlias namun
sepakannya gagal menemui jaring. Keputusan kekal 5-1 hingga wisel penamat.
Turut berlangsung malam ini
majlis ringkas penyerahan piala Liga Super 2016 yang disempurnakan Ketua
Pengarah Eksekutif (FMLLP) Kevin Ramalingam kepada Presiden Kelab JDT, Tunku
Aminah Sultan Ibrahim.
SUMBER- SINAR HARIAN ONLINE 24
September 2016
No comments:
Post a Comment