Ad

Wednesday, 14 September 2016

Fahami erti kemerdekaan

ARKIB : 30/08/1998
Penjajah Inggeris mempunyai agenda lempar batu sembunyi tangan dalam mempengaruhi raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu bagi memastikan orang Melayu tidak terpengaruh dengan revolusi yang menggegar Indonesia sebaik sahaja Jepun menyerah diri tahun 1945. Raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu bimbang, jika kemerdekaan ala Indonesia, kedudukan mereka akan terjejas, malah orang Melayu dimomokkan bahawa mereka akan menerima nasib Pak Kaduk: Menang sorak alah sabung, sekiranya mencapai kemerdekaan.

Betapa tidak raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu termakan dengan acuman Inggeris, kerana ketika ini kedudukan ekonomi dan pendidikan bangsa Melayu jauh ketinggalan dibandingkan dengan orang Cina dan India di negara ini.

Dalam suasana demikianlah saya menghadapi cabaran sebagai pemimpin UMNO di kampung apabila kebanyakan orang Melayu patuh dengan pembesar-pembesar mereka (di Negeri Sembilan, pembesar-pembesar adalah datuk-datuk lembaga dan ketua adat).

Menteri Besar bersama Penasihat Inggeris (BA) Negeri Sembilan (Tan Sri) Mubin Sheppard telah menganjurkan perjumpaan di kampung-kampung untuk membantu orang Melayu meningkatkan taraf ekonomi.

Datuk-datuk lembaga dan ketua adat dipengaruhi oleh Menteri Besar dan BA ini, hingga mereka bimbang menerima kemerdekaan dengan tanggapan kuasa politik Melayu akan terlucut kepada orang bukan Melayu seolah-olah menerima nasib ayam terlepas tangan berbau tahi.

Saya bersama rakan-rakan dalam UMNO sekadar pemimpin kerdil di kampung terpaksa berhadapan dengan mereka yang berpengaruh dan berkuasa terutama Menteri Besar dan BA itu. Mereka tidak yakin dengan UMNO yang dipimpin oleh rakyat biasa bagi menghadapi gelombang kebangkitan nasionalisme ini.

Oleh itu apabila Tunku memimpin UMNO, tanggapan menuduh raja-raja Melayu kehilangan takhta apabila negara merdeka menjadi tamparan kepada Inggeris. Masakan Tunku, seorang putera raja dan adik Sultan Kedah, mahu menjadi gunting dalam lipatan kepada abangnya sendiri.

Isu Tunku sebagai pemimpin UMNO inilah saya gunakan di kampung-kampung bagi memulihkan keyakinan orang Melayu bahawa raja-raja dan pembesar-pembesar Melayu tidak akan hilang kedudukan sekiranya negara mencapai kemerdekaan.

Di samping itu Tunku juga mudah diterima menghadap oleh raja-raja Melayu di setiap negeri bagi menjelaskan hala tuju perjuangan UMNO menuntut kemerdekaan.

Memang bukan mudah usaha yang dijalankan oleh Tunku disebabkan penjajah Inggeris dan Menteri Besar lebih berpengaruh, sementara Tunku sekadar disokong oleh rakyat jelata dan pejuang-pejuang kerdil setelah Datuk Onn Jaafar membawa sama pemimpin-pemimpin yang berpengaruh ini keluar daripada UMNO.

Rasanya wajar saya huraikan beberapa perkara penting yang sepatutnya diketahui oleh generasi muda di mana ibu bapa atau datuk neneknya terlibat dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Pertama, kerajaan Inggeris melalui Gabenor Jeneralnya Malcolm MacDonald telah menyatakan Inggeris bersedia memberikan kemerdekaan dengan syarat ketiga-tiga kaum terbesar di negara ini bersatu. Atas sebab-sebab inilah Datuk Onn mahukan supaya UMNO membukakan pintu kepada orang bukan Melayu.

Kedua, apabila cogan kata 'Hidup Melayu' ditukar kepada 'Merdeka', semangat orang Melayu mula berubah daripada pasif kepada agresif. Kalau sebelumnya cogan kata demikian yang dilaungkan oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) menjadi ejekan sesetengah pihak, tetapi apabila dijadikan cogan kata UMNO ia diterima majoriti.

Ketiga, secara tidak terancang ketika menghadapi pilihan raya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Municipality) 1952, pemimpin-pemimpin UMNO dan MCA mengadakan persefahaman (MIC tidak menyertai pilihan raya dan tidak ikut sama dalam pakatan). Dalam pilihan raya ini UMNO dan MCA memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.

Bertolak daripada persefahaman inilah UMNO dan MCA membentuk gabungan Perikatan. Hasilnya amat positif apabila calon-calon Parti Kemerdekaan Malaysia (IMP) dan kemudiannya Parti Negara pimpinan Datuk Onn Jaafar tewas kepada calon-calon Perikatan.

Keempat, di atas asas inilah UMNO dan MCA mengadakan perbincangan lebih serius di peringkat negeri dan nasional membentuk gabungan Parti Perikatan menggunakan simbol kapal layar. Keputusan ini diterima baik oleh kedua-dua pihak.

Kelima, dalam pilihan raya pertama 1955, calon-calon UMNO dan MCA telah disertai pula oleh MIC bertanding atas tiket Parti Perikatan. Kuota calon-calon yang bertanding telah dipersetujui di semua peringkat. Pada waktu itu orang Cina dan India belum ramai menjadi warganegara, oleh itu majoriti pengundi adalah Melayu kecuali beberapa kawasan di dalam bandar. Calon-calon MCA dan MIC yang diletakkan di kawasan majoriti pengundi Melayu juga mencapai kemenangan selesa mengalahkan calon-calon Melayu dari Parti Negara yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar.

Keenam, salah satu isu penting dalam manifesto Parti Perikatan menghadapi pilihan raya 1955 ialah mencapai kemerdekaan dalam tempoh empat tahun selepas pilihan raya. Bagaimanapun atas desakan yang kuat dari Pemuda UMNO pimpinan (Tun) Sardon Jubir (Allahyarham) dalam satu mesyuarat agung di Melaka, tarikh kemerdekaan ditetapkan pada tempoh dua tahun iaitu 31 Ogos 1957.

Usul Pemuda UMNO ini telah diterima baik dalam Mesyuarat Agung UMNO (sekarang perhimpunan agung). Keesokan harinya ketetapan telah diambil supaya mengurus satu rombongan ke London bagi menemui Setiausaha Tanah Jajahan Kerajaan Inggeris untuk menyampaikan tuntutan rakyat.

Dalam perjumpaan di Melaka inilah kutipan derma dilancarkan. Perwakilan dan pemerhati UMNO secara spontan mencurahkan bantuan berupa wang ringgit yang ditadah dengan topi dan songkok, manakala kaum ibu membentangkan selendang menderma barang-barang kemas yang dipakai di badan. Demikian semangat kemerdekaan yang melonjak dari lubuk jiwa bangsa Melayu.

Rombongan ke London ini diketuai oleh Tunku dengan disertai oleh Datuk (Tun) Abdul Razak Hussein, Kolonel (Tun) H.S. Lee dan (Tun) Dr. Ismail Abdul Rahman bertolak pada 1 Januari 1956 dan sampai di London pada 14 Januari 1956. Tunku bersama rakan-rakannya menaiki kapal laut dari Singapura sebelum menaiki kapal terbang di Karachi. Langkah Tunku menaiki kapal laut ini supaya rombongan dari Tanah Melayu, termasuk wakil raja-raja Melayu, Datuk Panglima Bukit Gantang (Menteri Besar Perak), Abdul Aziz Majid (Menteri Besar Selangor), Datuk Nik Ahmad Kamil (Menteri Besar Kelantan) dan Datuk Mohd. Seth Mohd. Said (Menteri Besar Johor) tidak bercanggah pendapat apabila berada di London.

Inggeris tidak dapat berdolak-dalik lagi dengan tuntutan ini disebabkan semua syarat yang ditetapkan sudah dipenuhi. Kok kata berjawab, kok gayung bersambut. Perpaduan rakyat yang didesak oleh Inggeris ternyata unggul apabila Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi dalam pilihan raya 1955.

Tarikh 31 Ogos 1957 yang ditetapkan oleh Pemuda UMNO sebenarnya setelah Sardon Jubir dan naib ketuanya, Haji Ahmad Badawi berbincang dengan Mufti Pulau Pinang, Abdullah Fahim (ayah Ahmad Badawi) yang mahir dalam ilmu falak meminta beliau memberikan nasihat mengenai tarikh kemerdekaan.

Berdasarkan nasihat Tuan Haji Abdullah Fahim inilah Pemuda UMNO mengemukakan usul tarikh kemerdekaan itu. Kemudian menjadi ketetapan UMNO dalam perjumpaan dengan Setiausaha Tanah Jajahan British bagi menyampaikan tuntutan rakyat jelata.

Di samping itu peristiwa yang tidak kurang penting dimainkan oleh Pemuda UMNO ialah menurunkan bendera Union Jack, sekali gus menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu di Padang Kelab Selangor tepat pukul 12.00 tengah malam pada 30 Ogos 1957.

Sebenarnya dua minggu sebelum peristiwa tersebut, mesyuarat Pemuda UMNO telah diadakan di rumah ketuanya, Sardon Jubir di Kuala Lumpur. Dalam mesyuarat itu diputuskan untuk menurunkan bendera Union Jack dan menaikkan bendera Persekutuan.

Sardon Jubir telah diberitahu oleh Tunku bahawa Pesuruhjaya Tinggi Sir Donald MacGalevery menyampaikan pesan supaya tidak diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack. Kononnya boleh menjatuhkan maruah Inggeris kerana kemerdekaan yang dicapai adalah melalui perlembagaan secara baik.

Tetapi Pemuda UMNO dengan mentah menolak kerana alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Lagi pun upacara menurunkan bendera penjajah mengandungi peristiwa bersejarah yang amat besar maknanya kepada bangsa sebagai lambang kedaulatan negara. Pemuda UMNO Selangor telah ditugaskan membuat persiapan yang diperlukan.

Inilah di antara beberapa peristiwa penting yang saya rasa baik dirakamkan untuk pengetahuan dan perhatian generasi muda supaya memahami erti cicir dipungut, hilang dicari, hanyut dipintasi, tenggelam diselami.

Mereka yang berusia dalam lingkungan 50 tahun sekarang tentu tidak berapa ingat peristiwa demikian, apatah lagi mereka yang dilahirkan selepas tarikh kemerdekaan. Kemungkinan mereka membaca buku-buku dan artikel mengenai perjuangan bangsa Melayu, namun banyak lagi yang tersurat dan yang tersirat masih kabur daripada pengetahuan umum.

Dalam usaha memaparkan perjuangan bangsa ini saya sedang menulis beberapa buah buku di antaranya 50 Tahun Dalam Perjuangan, Pemuda UMNO dan Memoir. Insya-Allah dalam buku ini akan saya nukilkan dengan panjang lebar serta terperinci mengenai perjuangan kemerdekaan ini.

Di samping itu satu perkara yang elok rasanya saya catatkan di sini ialah mengenai Malayan Union yang ditentang oleh bangsa Melayu. Tentu generasi sekarang tidak memahami sekiranya Malayan Union tercokok di tanah air, nescaya wajah negara kita bukanlah seperti yang kita lihat kini.

Perjuangan generasi yang sezaman dengan saya atau yang lebih tua daripada saya, tidak pernah meminta jasa mereka dikenang. Apa yang perlu ialah demi kesejahteraan bangsa dan negara serta anak cucu-cicit kita supaya benih yang baik tercampak ke laut menjadi pulau, tercampak ke darat menjadi gunung.

Sekarang kita melihat anak-anak muda telah berjaya dalam banyak bidang sama ada pendidikan mahupun ekonomi. Dua bidang inilah yang menjadi asas pertumbuhan kepada kemajuan satu-satu bangsa itu.

Bagaimanapun kejayaan tersebut belumlah dapat dibanggakan kerana masih ramai anak Melayu yang terperangkap dalam pelbagai gejala yang meruntuhkan maruah bangsa. Bukan sahaja gejala lepak, bohsia, bohjan tapi juga yang banyak terbabit dalam najis dadah.

Demikian pun kita ambil yang positif dan tinggalkan yang negatif dulu. Sekalipun dalam bidang ekonomi kita berhempas pulas mahukan kejayaan, tetapi ibarat sebatang pokok yang telah merimbun subur dengan putik-putik kian membesar, namun kita masih belum dapat menikmati hasilnya.

Justeru generasi muda yang mendapat kejayaan sekarang janganlah menjadi kacang lupakan kulit, lepas jambatan tongkat dibuang, lupakan pangkalan mula berkayuh bila dah sampai ke seberang. Teruslah mara di samping menoleh ke belakang serta mengimbau betapa pedih dan deritanya perjuangan generasi terdahulu.

Atau tanyalah kepada diri sendiri apakah sumbangan kita kepada negara? Terutama generasi yang sedang haus dan dahagakan sesuatu yang tidak perlu saya huraikan di sini, kerana mereka golongan cerdik pandai yang sudah menerima didikan tinggi. Apa lagi sekiranya disalah tafsir sebagai mengajar itik berenang, mengajar tupai melompat.

Bagaimanapun jauh di lipatan hati saya tetap terpahat harapan indah supaya mereka semua bersikap diam-diam ubi berisi, hindarkan daripada menjadi diam-diam penggali berkarat. Anak-anak yang dahagakan sesuatu itu haruslah memahami supaya tidak terpengaruh kepada kisah: Si kaduk naik junjung.

Oleh: TAN SRI A. SAMAD IDRIS




SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4KHj26z7f © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment