TOREK SULONG | 24
Ogos 2016 1:02 AM
SALMAH ISA menunjukkan kaki
suaminya, Ibrahim Noor yang cedera
SALMAH ISA menunjukkan kaki
suaminya, Ibrahim Noor yang cedera selepas bergelut dengan buaya di Kampung
Tualang Rendah, Selising, Pasir Puteh, Kelantan, semalam. UTUSAN/TOREK SULONG
PASIR PUTEH 23 Ogos - Seorang
lelaki bertarung nyawa selama 40 minit apabila terpaksa bergelut dengan seekor
buaya sepanjang dua meter yang membaham paha kanannya sebelum diseret ke tengah
Sungai Gong Ketereh, di sini semalam.
Kejadian dikatakan berlaku pada
pukul 8.30 malam ketika mangsa, Ibrahim Noor, 58, bersama beberapa rakannya
sedang menjala udang di sungai berkenaan.
Menurut Ibrahim, dia turun ke
dalam sungai sedalam satu meter untuk membersihkan sampah yang terlekat pada
jala sebelum terasa satu cengkaman kuat dan tajam di paha kanan lalu ditarik ke
tengah sungai.
“Kejadian berlaku sangat
pantas. Dalam keadaan cemas saya terfikir untuk bergelut termasuk menumbuk
badan haiwan itu, mencucuk mata dan membuka rahangnya.
“Syukur selepas kira-kira 40 minit
saya berjaya melepaskan kaki saya dari cengkaman kuat rahang haiwan itu,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tualang Rendah, Selising, di sini
hari ini.
Menurut Ibrahim, serangan itu
menyebabkan kulit paha, betis dan lutut kirinya terkoyak sepanjang kira-kira 20
sentimeter kerana digigit.
“Alhamdulilah, nyawa saya masih
panjang dan selamat. Rakan-rakan yang melihat kejadian itu datang membantu dan
menghantar saya ke Hospital Tengku Anis untuk mendapat rawatan kecemasan,”
katanya.
Ibrahim dalam pada itu
memberitahu, sebulan lalu sampan dinaikinya dirempuh sesuatu objek dipercayai
seekor buaya.
“Objek itu tenggelam ke dasar
sungai. Mungkin ia adalah buaya yang sama," katanya sambil memberitahu
kejadian manusia diserang buaya itu adalah yang pertama seumpamanya di sungai
tersebut.
Sementara itu, Pengarah
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan,
Mohammad Khairi Ahmad berkata, anggota dan pegawainya sudah dihantar ke lokasi
kejadian untuk meninjau sungai itu.
“Kakitangan Perhilitan sudah
melakukan pemantauan di persekitaran sungai berkenaan termasuk memasang
perangkap dalam masa terdekat sebelum reptilia itu mengancam keselamatan
penduduk dan nelayan darat di kawasan itu.
“Pihak kami juga sedang
menimbang untuk menguruskan bantuan kepada mangsa di bawah Kumpulan Wang
Amanah Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas,” katanya.
- SUMBER
:
http://www.utusan.com.my/berita/nahas-bencana/lelaki-tumbuk-8232-cucuk-mata-buaya-1.374139#sthash.QKiOBC14.dpuf
No comments:
Post a Comment