ARKIB : 08/09/1998
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Jabatan
Perdana Menteri (JPM) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri. Dr. Mahathir
Mohamad sebagai Menteri Kewangan Pertama dan Datuk Mustapa Mohamed sebagai
Menteri Kewangan Kedua.
Pelantikan itu dibuat bagi
mengisi kekosongan dalam kabinet selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat
daripada kerajaan dan UMNO minggu lalu.
Kedua-dua pelantikan berkuat
kuasa mulai hari ini.
Menurut JPM, Mustapa, 48, akan
menjalankan dua tugas iaitu sebagai Menteri Kewangan Kedua dan pada masa yang
sama selaku Menteri di Kementerian Pembangunan Usahawan.
Beberapa jam sebelum pelantikan
Dr. Mahathir dan Mustapa diumumkan oleh JPM pada pukul 1 tengah hari,
Kementerian Kewangan telah mengeluarkan kenyataan akhbar menamakan Tan Sri Ali
Abul Hassan Sulaiman sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) yang baru.
Ali Abul Hassan, 57, ialah
Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.
Penolong Gabenor Bank Negara,
Datuk Dr. Zeti Akhtar Aziz, 51, pula yang memangku jawatan Gabenor sejak Tan
Sri Ahmad Mohamed Don meletakkan jawatan pada 27 Ogos lalu, dilantik sebagai
Timbalan Gabenor.
Dr. Zeti menggantikan Datuk
Fong Weng Phak yang juga meletakkan jawatan.
Perubahan kepimpinan di Bank
Negara tidak dapat dielakkan apabila Ahmad Mohamed Don berundur selepas beliau
tidak dapat bersetuju dengan kerajaan berhubung isu pengawalan modal, mata wang
dan dasar-dasar ekonomi.
Berhubung pelantikan Menteri
Kewangan, kenyataan JPM hari ini tidak menyatakan alasan mengapa kerajaan
mengambil langkah mewujudkan dua jawatan Menteri Kewangan iaitu satu keunikan
baru kepada Jemaah Menteri Malaysia.
Juga tidak dinyatakan ialah
status kedudukan Timbalan-Timbalan Menteri Kewangan yang ada sekarang iaitu
Datuk Dr. Affifuddin Omar dan Datuk Wong See Wah.
Sejak merdeka, kabinet Malaysia
hanya mempunyai seorang Menteri Kewangan pada satu-satu masa.
Antara Menteri Kewangan pada
masa lalu ialah Tun H.S Lee (1957-59) Tun Tan Siew Sin (1959-74), Tun Hussein
Onn (1974-76), Tengku Razaleigh Hamzah (1976-83), Tun Daim Zainuddin (1983-91)
dan Anwar Ibrahim (1991-1998).
Dengan pengumuman hari ini,
selain bertugas sebagai Menteri Kewangan Pertama, Dr. Mahathir juga memegang
portfolio Menteri Dalam Negeri selain Perdana Menteri.
Pembahagian tugas antara beliau
dengan Mustapa masih belum diketahui.
Mustapa pula, yang merupakan
anak kelahiran Bachok, Kelantan, merupakan lulusan Universiti Melbourne,
Australia. Beliau memperoleh sarjana muda ekonomi kepujian kelas satu.
Ketika mengulas pelantikannya,
beliau mengucapkan terima kasih kepada Dr. Mahathir.
''Saya terkejut dengan pelantikan
ini. Ia adalah satu penghormatan dan amanah. Insya-Allah saya akan melaksanakan
tanggungjawab sebaik mungkin membantu Perdana Menteri dalam menjalankan tugas
di Kementerian Kewangan,'' katanya.
Petang ini, beliau yang ''suka
berterus-terang dan dikatakan tidak menonjolkan diri'' diberi taklimat oleh
Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai Kementerian Kewangan.
Bagaimanapun, Mustapa bukan
orang baru di kementerian tersebut. Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan
awam di Perbendaharaan sebagai penolong setiausaha pada 1974.
Pada tahun 1980, beliau menjadi
pensyarah di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sebelum dilantik sebagai
pegawai khas kepada Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin pada tahun 1984.
Mustapa menyertai politik pada
tahun 1984 dan terus menjadi Setiausaha Politik kepada Daim.
Beliau dilantik sebagai Senator
di Dewan Negara pada bulan Mac 1991 dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha
Parlimen Kementerian Kewangan.
Pada Januari 1994, Mustapa
dinaikkan pangkat ke jawatan Timbalan Menteri Kewangan sebelum dinamakan
sebagai Menteri Pembangunan Usahawan selepas beliau memenangi kerusi Parlimen kawasan
Jeli pada pilihan raya umum April 1995.
Di dalam UMNO, Mustapa mendapat
jumlah undi ketiga terbanyak dalam pemilihan Majlis Tertinggi UMNO pada 1996.
Apabila Majlis Tindakan Ekonomi
Negara (MTEN) ditubuhkan pada awal tahun ini, Mustapa adalah salah seorang ahli
majlis itu yang diamanahkan untuk menggubal strategi mempercepatkan pemulihan
ekonomi negara.
Mustapa berkahwin dengan Datin
Khamarzan Ahmad Meah dan mempunyai empat orang anak - dua lelaki dan dua
perempuan.
Oleh: BAHAROM MAHUSIN
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0908&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=fp_01.htm#ixzz4KJvqsoWp
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment