Ad

Wednesday, 14 September 2016

Putera sultan berjiwa rakyat

ARKIB : 31/08/1998
TIAP tahun kita merayakan Hari Kebangsaan dan kedaulatan kita, rakyat harus terkenang kepada Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra, yang kembali ke rahmatullah pada 6 Disember 1990. Satu bangsa yang tidak tahu mengenang wiranya tidak bisa menjadi satu bangsa yang teragung. Walaupun ia maju tetapi ia tetap tidak kegedangan (great).

Kita mesti senantiasa menghormati, menghargai dan memuliakan negarawan dan pemimpin bangsa yang amat banyak berkorban dan berbakti untuk memartabatkan kita. Hancur badan dikandung tanah jasa teragung mereka terkenang juga.

Tunku berkait dengan merdeka, Tun Razak menukar wajah luar bandar, mengembali maruah Melayu dan melahirkan Dasar Ekonomi Baru; Tun Hussein ''menjaga rumah'' sebelum Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad muncul sebagai ketua arkitek menjadikan Malaysia terkenal dan dihormati apakala kita menjelma sebagai 'Tiger economy'.

Ramai manusia (termasuk juga segelintir Melayu sendiri) yang meramalkan selepas kemerdekaan kita akan hancur dan ditakluk oleh orang bukan Melayu yang lebih maju, lebih pandai dan kaya. Negara menjadi killing field _ medan perang di antara rakyatnya yang berbilang bangsa, malah Malaya atau Malaysia tidak akan mengenal kemakmuran dan keamanan. Kejayaan kita membingungkan musuh dan kawan.

Angkatan saya yang remaja sebelum tarikh kemerdekaan amat sedar sumbangan besar Tunku yang meletakkan asas yang kukuh bagi perpaduan dan keharmonian antara bangsa. Asas kukuh itu nyaris-nyaris punah-ranah semasa Singapura dalam Malaysia. Singapura diusir keluar 9 Ogos 1965. Empat tahun kemudian peristiwa 13 Mei, yang sebenarnya bukan tidak dijangka (not entirely unexpected) telah tercetus. Setahun kemudian, pada September 1970, Tun Razak telah mengambil alih daripada Tunku.

Saya bertuah kerana telah berkesempatan menggali banyak pengalaman di bawah pimpinan Tunku. Mendewasa di bawah naungannya penuh cabaran kerana Tunku seorang anak sultan, Perdana Menteri dan Presiden UMNO sekali gus. Bekerja dengan atau di bawahnya menggembira, menyeronokkan tetapi terpaksa cermat sebab Tunku amat sensitif, halus dan cepat tersinggung dengan pendapat dan kelakuan yang radikal. Tunku seorang konservatif yang mahu mengekalkan status-quo, keadaan yang wujud.

Keabadian Tunku terjamin walaupun Tunku tidak diingati, dipuji dan dipuja melalui prosa dan sajak, anugerah dan hadiah. Mendewa-dewakan manusia yang lebih kerdil daripada Tunku mencacat sejarah bangsa.

Penulis, cendekiawan dan ahli sejarah harus membuat kajian dan penyelidikan akademik tentang Tunku, dasar-dasar dan kualiti kepimpinan putera yang teragung ini. Mereka boleh memuji dan mencelanya kalau wajar asal mereka dapat pertahankan keputusan (verdict) mereka. Yang benar, benar juga dan jasanya tetap dikenang sepanjang zaman.

Bangsa Melayu dan ahli UMNO harus prihatin Tunku telah tampil ke depan apabila tiada seorang pun pemimpin Melayu yang berwibawa dan terkenal ingin menggantikan Datuk Onn Jaafar yang merajuk pada tahun 1951.

Zaman Tunku adalah satu masa yang gemilang bagi mereka yang berada dan berkuasa sebelum peristiwa 13 Mei. Tun Razak dan kini Mahathir pula sedang bertungkus-lumus berusaha agar kemakmuran dan kenikmatan hidup dirasai oleh semua golongan, peringkat dan wilayah. Kedudukan semua bangsa terjamin, terpelihara dan terselamat. Bumiputera dan bukan bumiputera tidak bisa dapat semua yang diidami tetapi kepentingan mereka yang tidak bertentangan prinsip negara tetap terbela.

Apa pun yang telah diperkatakan tentang Tunku saya tidak pernah ragu patriotismenya dan cintanya terhadap bangsanya. Kadang-kadang dia ambivalen tetapi itu adalah politik, mungkin juga satu kelalaian yang sementara.

Pada hari keramat hasil perjuangan yang diketuainya yang kini warisan kita, marilah kita menghadiahkannya al-Fatihah tanda ingatan dan kasih kita terhadapnya.

* Datuk Abdullah Ahmad ialah Wakil Khas Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0831&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4KHrXmls9 © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment