ARKIB : 30/07/1998
LENGANG... Kakitangan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Singapura kini sedang menjalankan kerja-kerja terakhir sebelum mereka berpindah sepenuhnya dari Tanjong Pagar ke Woodlands, Sabtu ini.
Tinjauan Utusan di CIQ Woodlands kira-kira pukul 1 tengah hari semalam mendapati pusat pemeriksaan imigresen dan kastam Singapura bagi penumpang kereta api, dilengkapi alat hawa dingin.
Bagaimanapun tiada seorang pun pegawai imigresen dan kastam Malaysia di pusat itu, yang kelihatan hanyalah beberapa kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang berada di platform bagi mengambil lesen perjalanan (gelung besi) dari pemandu lokomotif KTMB yang datang dari arah Johor Bahru menuju ke Stesen KTMB Tanjong Pagar, Singapura.
* KERETA api dari arah Johor Bahru melalui pusat pemeriksaan Woodlands yang baru bagi perjalanan ke Stesen KTM di Tanjong Pagar, Singapura semalam.
KUALA LUMPUR 29 Julai - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Republik Singapura tidak wajar membuat keputusan secara sehala berhubung tindakan untuk memindahkan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantinnya (CIQ) dari Stesen Kereta Api Tanjong Pagar ke Woodlands.
Beliau berkata, republik itu sepatutnya membuat sesuatu keputusan yang membabitkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara berdasarkan semangat muafakat yang sudah terjalin sejak sekian lama.
''Kita harap Singapura menghormati keputusan kita untuk tidak memindahkan CIQ kita sepertimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad),'' katanya di sini, hari ini.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai ketegasan Perdana Menteri untuk tidak memindahkan CIQ ke Woodlands berkuat kuasa Sabtu ini.
Ketegasan Dr. Mahathir terhadap isu terbaru yang menimbulkan perbalahan diplomatik dengan Singapura itu telah mendapat sokongan semua pihak dari pemimpin negara sehingga kepada pengguna kereta api itu sendiri.
Dalam hubungan ini, Najib berkata, Singapura wajar membuat sesuatu keputusan mengenai perkara berkenaan mengikut lunas undang-undang yang sebenarnya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0730&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=hn_01.htm#ixzz4KBeMprKz © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment