Ad

Sunday, 30 August 2020

Abadi jiwa patriotik

MyMetroUtama

Semangat lagu keramat, 31 Ogos nyanyian Sudirman cukup sebati dalam jiwa pendengar hingga kini.

Riadz Radzi & Syafil Syazwan Jefri

am@hmetro.com.myJIKA hayatnya masih ada, Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad kini sudah berusia 66 tahun.Namun, penghibur serba boleh ini meninggalkan kita lebih awal pada 22 Februari 1992 ketika berusia 38 tahun.

Sudirman yang memulakan kerjaya nyanyiannya selepas menjuarai program Bintang RTM pada 1976 ini cukup dekat dalam kalangan rakyat Malaysia meliputi semua kaum, agama, usia dan pangkat.


Paling ketara setiap kali sambutan Hari Kebangsaan, suara Sudirman terus bergema dengan lagu malar hijaunya iaitu 31 Ogos yang dirakamkan pada 1982.Sehingga hari ini, lagu itu terus dimainkan setiap kali negara menyambut Hari Kebangsaan.Malah, kanak-kanak berusia enam tahun di tabika turut menghafal lagu yang berusia hampir 40 tahun itu.

Populariti lagu itu dan Sudirman turut 'menenggelamkan' penyanyi asalnya iaitu Ahmad CB.Semangat patriotik sentiasa ada dalam diri Sudirman dengan kebanyakan lirik lagu terarah pada semangat kenegaraan.

Semangat patriotik sentiasa ada dalam diri Sudirman dengan kebanyakan lirik lagu terarah pada semangat kenegaraan.

Bagi yang tidak tahu, lagu itu adalah ciptaan dan nyanyian asal penyanyi kelahiran Medan, Indonesia yang diciptanya selepas mendapat tahu Malaya akan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.


Jiwa patriotik Sudirman cukup tebal dalam dirinya. Malah, dalam setiap persembahan atau konsert, nama dan budaya masyarakat Malaysia tetap setia bersamanya.


Bekas pengurusnya, Dani'el Dharanee Dharan Kannan dalam satu temu bual berkata, Sudirman layak dikenali sebagai Ikon Perpaduan Negara dan Biduan Malaysia Sebenar.


"Imej perpaduan lahir secara semula jadi dalam diri Sudirman. Konsert beliau tidak pernah gagal, sentiasa dipenuhi masyarakat berbeza latar belakang, bukan sekadar kaum, malah perbezaan dari segi kelas ekonomi juga boleh berhimpun dalam konsert sama," katanya.


Sudirman turut mencipta kelainan apabila merakamkan album bertema patriotik berjudul Abadi pada 1982 yang diterbitkan S Atan.


PERSEMBAHAN Sudirman diwaktu kemuncak kejayaannya.

PERSEMBAHAN Sudirman diwaktu kemuncak kejayaannya.

Ketika itu tidak ada penyanyi mahu merakam album patriotik, tetapi tidak bagi Sudirman.


S Atan, 71, berkata, Sudirman tetap berusaha menghasilkan album berkenaan kerana belum ada penyanyi lain yang rakam album sedemikian.


Menurut S Atan, album berkenaan yang dirakam di Studio EMI di Singapura mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan.


Selain lagu ikonik 31 Ogos, album itu turut memuatkan lagu Warisan, 8 Ke 4 1/4 (Punch Card), Kehadiranku, Di Suatu Pagi, Indahnya Alam, Pertemuan Abadi, Sabarlah Menanti, Di Bumi Bertuah dan Tegakkan Bendera Kita.


Lagu Warisan ciptaan dan lirik oleh Syed Haron pernah dijadikan tema Hari Kebangsaan ke-57 pada 2014 iaitu Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta.


Sepanjang kerjayanya, Sudirman menghasilkan 15 album studio di mana album terakhirnya ialah Asia's No 1 Performer pada 1989.


Beliau juga bergelar pelakon menerusi filem Kami pada 1982 yang juga filem pertama dan terakhir lakonannya

PERMATA negara yang akan selalu dikenang.

Disiplin dan semangat majmuk dalam Sudirman


Sentiasa dikenang dalam hati setiap masyarakat yang membesar ketika zaman kegemilangannya, nama Sudirman juga sentiasa abadi dalam hati beberapa individu yang rapat dengannya.


Antara yang paling akrab adalah bekas setiausahanya, Intan Zabidin yang pernah berkhidmat dengan Sudirman hampir lima tahun.


Berkongsi mengenai jiwa patriotik Sudirman, Intan yang juga bekas pengarang majalah Media Hiburan berkata, penyanyi itu tidak perlu menunggu tarikh 31 Ogos untuk menunjukkan semangat patriotisme.


"Semangat patriotik beliau sentiasa dalam dirinya. Saya rasa semangat patriotik dia sangat tinggi. Itu sebabnya kalau kita amati lirik lagu yang dinyanyikan, kebanyakannya terarah kepada semangat kenegaraan," katanya.


Menurut Intan, Sudirman pernah memintanya mendapatkan Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman untuk ditemu bual. Bagaimanapun, niat Sudirman itu tidak kesampaian.


Menurut Intan, Sudirman juga sentiasa menerapkan semangat kesatuan dalam cara kerja dan persekitarannya.


"Satu perkara yang sentiasa ditekankan adalah mengenai semangat untuk bersatu padu. Kalau dia nak adakan konsert atau apa, pasukan yang akan bekerja di belakang tabir terdiri daripada pelbagai kaum.


"Kalau di konsert, dia tak hanya mempersembahkan lagu Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, tetapi juga lagu Bahasa Cina dan Tamil serta pelbagai budaya lain. Sebab itu dia disenangi ramai orang dari pelbagai kaum," katanya.


Menjadi antara penyanyi Malaysia yang berjaya melebarkan sayapnya tanpa sempadan sehingga luar negara, Sudirman juga adalah anak Malaysia yang sentiasa bangga dengan negaranya.


"Saya tak pernah ikut dia ke luar negara, tapi dia selalu menunjukkan gambar kenangan ketika dia beraksi di sana.


"Dari situ, dapat dilihat bagaimana bersemangatnya dia, berbaju Melayu dan tak pernah lupa membawa bendera Malaysia bersama," katanya.


Sementara itu, S Atan berkata, tidak akan ada pengganti Sudirman.


"Bayangkan, tak pernah dibuat mana-mana artis untuk mengadakan konsert di tengah jalan raya yang sesak seperti Chow Kit. Tapi, dia mampu buat. Ratusan ribu penonton datang menonton persembahannya dan terdiri daripada pelbagai kaum. Dia bukan saja ada peminat Melayu, tetapi juga daripada kaum lain.


"Syarikat rakaman ketika itu tak yakin bahawa lagu patriotik akan mendapat sambutan, tapi dia tetap dengan pendiriannya dan buktinya, sehingga hari ini lagu patriotik nyanyiannya masih diterima," katanya.


S Atan juga mengakui, disiplin dalam diri Sudirman berjaya menempatkan dirinya di posisi terbaik dalam industri muzik.


"Selalunya, dia akan datang sejam lebih awal daripada waktu 'call time'. Disiplin ini yang membuatkan dia dihormati dan saya sendiri pun hormat kepadanya. Walaupun ramai artis baharu muncul hari ini, tak akan ada seorang pun yang mampu menggantikan Sudirman sebagai penghibur," katanya.


NAIM akui Sudirman adalah idolanya.

NAIM akui Sudirman adalah idolanya.

Sudirman 'superhero' Naim Daniel


"Dia adalah idola saya dan kalau ada adiwira buatan Malaysia, Sudirman paling layak. Sebab apa? Sebab dia mengetengahkan karya seninya dan pada masa sama, menyatukan masyarakat. Tak semua ada kemampuan sepertinya," kata penyanyi Naim Daniel.


Menurut Naim, dia sendiri menyuntik beberapa elemen 'Sudirman' dalam dirinya.


"Antara yang menarik perhatian saya adalah apabila dia memiliki simbol sendiri iaitu cermin mata gelap yang akan diselitkan setiap kali menulis sesuatu atau membalas surat peminat.


"Saya menjadikan itu sebagai ikutan dan kalau lihat di Instagram saya, saya akan selitkan simbolik diri saya sendiri di penghujung video yang dimuat naik dan sebagainya.


"Selain itu, saya juga mencontohinya dengan mengangkat baju Melayu sebagai baju yang sering saya pakai ketika membuat persembahan. Selain mengekspersikan minat terhadap Sudirman, ia juga cara saya untuk menunjukkan rasa kenegaraan saya," katanya.


Walaupun tidak pernah mengenali Sudirman secara peribadi, Naim mengakui bahawa 'jiwa' Sudirman itu sampai walaupun sekadar menonton video persembahannya.


"Karisma seorang Sudirman tatkala berada di atas pentas sangat luar biasa. Ia bukan satu perkara yang dibuat-buat kerana nampak keikhlasannya untuk berinteraksi dengan peminat," katanya.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 6:00 AM

No comments:

Post a Comment