MyMetroNuansa
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my
MALAYSIA mempunyai perjalanan sejarahnya tersendiri dan ada antara tinggalan masa lampau sehingga hari ini masih tersimpan dalam pelbagai lokasi rahsia yang sebenarnya mampu merungkai pelbagai persoalan.
Di negara in terdapat golongan yang mempunyai minat untuk mencari ‘harta karun’ itu dan ada antara mereka bergerak secara berkumpulan atau di bawah pertubuhan tertentu bagi membantu pengkaji sejarah mendapatkan bukti perjalanan sesuatu sejarah.
Bertemu Hairul Alias, 40, berasal dari Manjung, Perak antaranya membuka mata penulis bahawa terdapat individu yang sanggup masuk dalam pelbagai lokasi rahsia untuk mencari tinggalan era peperangan negara khasnya
Hasil pencarian itu bukan untuk mengaut keuntungan, tetapi dia antara individu yang membantu pengkaji sejarah mendapatkan bukti kisah yang mungkin sebelum ini belum dapat dipastikan kesahihannya.
Hairul berkata, dia mempunyai minat mendalam mengenai sejarah yang merasa tidak puas hanya mengetahui sesuatu perkara itu menerusi pembacaan sahaja.
Katanya, pada awal 2010 dia mengikuti sekumpulan individu yang dikenali sebagai Malaya Historical Group untuk mendapatkan maklumat mengenai tinggalan sejarah yang tersimpan dalam lokasi yang sukar dijejaki orang ramai antaranya dalam hutan.
ANTARA bangkai kapal terbang yang dijumpai Hairul (kiri) dan rakan dalam aktiviti eksplorasi artifak. FOTO Ihsan Hairul Alias
ANTARA bangkai kapal terbang yang dijumpai Hairul (kiri) dan rakan dalam aktiviti eksplorasi artifak. FOTO Ihsan Hairul Alias
“Pertama kali saya menyertai kumpulan itu dengan menerokai Hutan Tapah dan sebelum masuk ke sesuatu kawasan yang dipercayai terdapat tinggalan sejarah pastinya risikan maklumat menerusi pembacaan perlu dilakukan.
“Kemudian, bagi memastikan tidak berlaku masalah sesat di dalam hutan kami perlu mempunyai ahli kumpulan yang tahu menbaca kompas dan arif dalam laluan ke lokasi berkenaan,” katanya.
Pengalaman kali pertamanya menjumpai longgokan kotak kosong peluru lama era insurgensi yang dipercayai tinggalan British.
Katanya, bermula dari situ dia aktif melakukan aktiviti menjejaki artifak dalam hutan dengan sekurang-kurangnyan dua kali sebulan melakukan aktiviti berkenaan.
Antara yang pernah dijumpainya adalah bangkai kapal terbang British selepas empat malam meredah sebuah hutan di Selangor.
Katanya, kebiasaannya selepas menjumpai sesuatu artifak kumpulannya memaklumkan kepada pihak bertanggungjawab dalam memulihara tinggalan sejarah.
Ia termasuk muzium atau pihak kedutaan yang berminat untuk melakukan ekskavasi supaya dapat dipulihara, barangan peribadi dan tulang mangsa dapat dikembalikan kepada waris serta dibawa pulang ke negara asalnya.
“Aktiviti ini menarik kerana saya dapat menimba ilmu pengetahuan dengan rakan yang lama dan bijak pandai dalam bidang arkeologi serta sejarah dalam usaha mencari khazanah yang tidak diketahui ramai.
PELBAGAI artifak ditemui sepanjang berkecimpung dalam aktiviti eksplorasi. FOTO Ihsan Hairul Alias
PELBAGAI artifak ditemui sepanjang berkecimpung dalam aktiviti eksplorasi. FOTO Ihsan Hairul Alias
BERSAMA rakan yang mempunyai minat sama. FOTO Ihsan Hairul Alias
BERSAMA rakan yang mempunyai minat sama. FOTO Ihsan Hairul Alias
“Perkara ini juga membabitkan pelbagai pihak seperti kumpulan bebas, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan kerajaan. Jadi, sebagai peminat sejarah saya dapat melihat sendiri secara lebih dekat aktiviti kajian itu dilakukan,” katanya.
Malah, Hairul juga melihat aktiviti menerokai hutan untuk mencari artifak lama dapat membantunya mempelajari teknik menerokai sesuatu kawasan dengan baik.
Katanya, perkara lebih penting ialah membuat bacaan, meneliti sumber yang diterima, menyusun strategi dengan mempunyai ahli kumpulan yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing.
“Apabila masuk dalam hutan misalnya kita perlukan individu yang tahu membaca kompas dan laluan betul kerana tidak mahu tersasar dari tempat hendak dituju.
“Perkara seperti itu penting kerana ada antara artifak yang dimaklumkan bukan terletak di kawasan hutan yang biasa dilalui pendaki atau peneroka. Jadi, menggunakan khidmat seperi Orang Asli antara yang boleh membantu mereka tiba di lokasi berkenaan,” katanya.
Jelasnya, di Malaysia tidak ramai kumpulan yang mempunyai minat untuk menerokai artifak lama kerana ia membabitkan masa, pemahaman dan lebih penting wang sendiri untuk pergi ke sesuatu lokasi itu.
“Jadi untuk melakukan perkara ini pastinya minat perlu ada memandangkan kita perlu banyak membaca dan mencari sumber supaya tidak pergi sesuatu kawasan yang akhirnya pulang tidak menjumpai sebarang peninggalan.
“Sememangnya perkara itu adalah sering berlaku, tetapi sebolehnya kita tidak mahu ia berlaku kerana kumpulan seperti kami tidak mempunyai sokongan dana daripada pihak lain. Ia sekadar hobi, tetapi ada tarikan tersendiri,” katanya mengakhiri perbualan.
AKTIVITI mencari artifak membantu Hairul menimba ilmu sejarah lebih dekat. FOTO Ihsan Hairul Alias
AKTIVITI mencari artifak membantu Hairul menimba ilmu sejarah lebih dekat. FOTO Ihsan Hairul Alias
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 April 2020 @ 7:00 AM
No comments:
Post a Comment