Ad

Tuesday, 25 August 2020

Maloney tidak goyah kalah besar

MyMetroArena


SyMALONEY (kanan) tidak tertekan menyiapkan skuad mantap. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysiaazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

JIKA melihat kepada kekalahan besar skuad bawah 19 (B 19) tahun negara yang tewas 1-6 kepada PJ City pada 14 Ogos lalu dan 0-4 kepada Selangor 2 jelas sekali banyak pihak yang meragui kemampuan mereka untuk beraksi di pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Uzbekistan Oktober ini.


Namun, kekalahan terbabit sebenarnya tidak pun menggoyahkan pengendali skuad B 19 Brad Maloney dengan menganggap keputusan atau jumlah jaringan pada dua perlawanan persahabatan bukanlah ukuran dalam membentuk pasukan mantap.


Jelas Maloney, pada ketika ini, beliau mahu anak buahnya mempunyai ketahanan atau berkemampuan mengharungi perlawanan berintensiti tinggi sekali gus ukuran keupayaan pemain.


Katanya, walaupun ada segelintir pihak mempersoalkan keputusan terbabit yang melihat skuad B 19 kurang menyengat namun tidaklah menyebabkannya dalam situasi tekanan untuk mempersiapkan pasukan ketika tempoh berbaki dua bulan saja lagi.


"Keputusan bukanlah perkara saya inginkan namun asas utama adalah dalam menguji keupayaan beberapa pemain untuk beraksi di peringkat lebih tinggi.


"Seperti saya katakan, tiada tekanan walaupun tewas dua perlawanan dengan jaringan besar kerana perkara terbabit tidak mengganggu persiapan kami," katanya, ketika ditemui di Padang PKNS, di sini, semalam.


Sebelum itu, skuad B 19 tahun negara tewas pada dua perlawanan persahabatan menentang PJ City FC dan Selangor 2 sekali gus melahirkan kebimbangan di kalangan ramai pihak khususnya peminat.


Skuad B 19 negara dilihat gagal untuk memberikan cabaran ketika tewas 6-1 kepada PJ City pada 14 Ogos lalu dan 4-0 kepada Selangor 2 pada perlawanan persahabatan baru-baru ini.


Sementara itu, Maloney berkata, beliau akan pertimbangkan untuk mengadakan siri perlawanan persahabatan pada masa akan datang dalam usaha memilih pemain yang akan dibawa ke Uzbekistan.


"Skuad B 19 akan bertemu pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan esok (hari ini) dan saya akan pertimbangkan untuk mengatur lagi perlawanan persahabatan pada masa akan datang.


"Setakat ini, selepas dua perlawanan persahabatan, tiada lagi pemain yang akan digugurkan dan mereka masih lagi menjalani latihan seperti biasa," katanya.


Barisan pemain B 19 akan mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan dan kali ini lawan mereka boleh dikatakan agak mudah apabila bertemu skuad Piala Presiden Negeri Sembilan yang dalam rangka persiapan menghadapi SUKMA tahun depan.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 12:43 AM

No comments:

Post a Comment