MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.myPENGENDALI Pahang, Dollah Salleh percaya skuad itu akan tampil lebih mantap apabila bertemu UiTM FC, Sabtu ini.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kekalahan 2-3 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah dilupakan dan fokus kini berdepan perlawanan seterusnya.
"Oleh itu, saya mengharapkan semua pemain dapat mempamer aksi lebih baik dan kembali melakar kemenangan selepas terlepas tiga mata di halaman sendiri.
"Dengan komitmen tinggi dan semangat, saya percara Pahang akan beraksi lebih mantap dan kembali mengejar kedudukan terbaik dalam Liga Super," katanya.
Mengulas persembahan pemain muda yang turut diberi peluang beraksi ketika berdepan JDT Jumaat lalu, Dollah berpuas hati dengan komitmen anak buahnya itu.
Katanya, pemain muda memberi persembahan yang meyakinkan dalam usaha mengimbangi corak permainan terutama pada babak kedua perlawanan.
"Saya berbangga dengan prestasi yang dipersembahkan dan percaya mereka mampu memberikan yang lebih baik pada perlawanan akan datang," katanya.
Antara pemain muda yang diberi peluang beraksi ialah Muhammad Ashar Al Aafiz Abdullah dan Muhammad Sharul Nizam Mohd Nadzir.
Sebaik saingan Liga Super bersambung Jumaat lalu, skuad Tok Gajah yang beraksi di halaman sendiri gagal mengutip mata selepas tewas 2-3 kepada Harimau Selatan.
Namun, tanpa beberapa pemain utama yang berdepan krisis kecederaan, Pahang yang ketinggalan 0-3 dan bangkit 2-3 sebelum akur melepaskan tiga mata.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 1:37 PM
No comments:
Post a Comment