MyMetroArena
Nazri Abu Bakar
KAPTEN pasukan Melaka, Safiq Rahim dan pemain pertahanan Razman Roslan berazam menampilkan persembahan terbaik ketika berdepan Perak 28 Ogos ini.
Bagi mereka, pasukan terbabit memiliki momentum positif selepas mengutip tiga kemenangan berturut -turut pada aksi persahabatan sebelum ini.
Safiq berkata, walaupun berehat panjang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan berlatih susulan pandemik Covid- 19 namun pemain menampilkan kesungguhan tinggi sepanjang sesi latihan selepas dibenarkan kembali ke padang.
"Lebih menarik persembahan pasukan berada pada tahap terbaik dalam tiga perlawanan persahabatan ketika bertemu PDRM, UiTM FC dan FELDA United.
"Kemenangan pada kesemua perlawanan amat positif sebagai persediaan mengharungi liga. Justeru apa yang diharapkan ia mampu dikekalkan pada aksi sebenar kelak," katanya.
Sehubungan itu, dia yakin perancangan jurulatih mampu untuk diteruskan bermula pada perlawanan pertama bertemu The Bos Gaurus di Ipoh.
Sementara itu, Razman Roslan pula berkata, keserasian dan persembahan pasukan kian meningkat dengan keputusan yang diperoleh pada sesi persahabatan dan diharap dapat diteruskan pada baki tujuh perlawanan.
Katanya, selepas tiada masalah dalaman menerusi usaha penyelesaian yang dilakukan presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) sudah pasti pemain berazam menterjemahkan aksi agresif di dalam padang kelak.
Menurutnya, dia juga mengucapkan terima kasih kepada presiden atas usaha terbabit yang berjaya menyelesai sebarang isu yang timbul dalam masa sama mengharapkan keputusan positif bakal diperoleh.
Secara peribadi, dia berpendapat persembahan pasukan dilihat lebih mantap selepas rehat tiga bulan seperti yang dibuktikan dalam aksi persahabatan baru-baru ini.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Ogos 2020 @ 9:02 PM
No comments:
Post a Comment