Ad

Friday, 28 August 2020

Penyerang muda negara semakin dapat menyesuaikan diri di bumi Eropah

SUKAN

LUQMAN (kiri) dirakam bersama bapa angkatnya, Vercruysse yang banyak membantunya ketika berada di luar padang di kediaman mereka di Belgium semalam.

Luqman ledak gol sulung di Belgium

Oleh KOSMO!

27 Ogos 2020, 9:41 pm

Penyerang muda negara semakin dapat menyesuaikan diri di bumi Eropah


Oleh MOHD FARIQ


PENYERANG muda negara, Luqman Hakim Shamsudin tidak mengambil masa lama untuk mencipta kejutan apabila menjaringkan gol pertama di bumi Belgium biarpun tewas 1-4 kepada KRC Gent dalam perlawanan persahabatan semalam.


Pada aksi itu, Luqman diturunkan bersama skuad bawah 21 tahun (B-21) KV Kortrijk (KVK) dan berjaya menyumbat gol pertama sepanjang bermain 60 minit perlawanan.


Kemudian pemain berusia 18 tahun itu dikeluarkan ketika perlawanan terikat 1-1 sebelum keputusan akhir 1-4 kekal sehingga tamat perlawanan.


Mengulas lanjut, penyerang kelahiran Kota Bharu itu percaya dia masih perlu memperbaiki beberapa aspek permainan sebelum mendapat peluang bermain bersama skuad senior KVK.


Bagaimanapun, Luqman tidak menolak gol sulung itu menaikkan moralnya untuk memberikan persembahan lebih positif buat pasukan yang dimiliki pe­ngasas Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan.


“Saya sangat gembira kerana sudah selesai tempoh kuarantin dan negatif dalam kedua-dua ­ujian Covid-19. Saya telah menjalani sesi latihan penuh sepanjang tiga hari lalu.


“Saya juga sangat gembira kerana bermain dalam perlawanan pemanas badan bersama pasukan kedua petang semalam (kelmarin).


“Saya berjaya menjaringkan satu gol walaupun kami tewas 1-4 ketika menentang salah satu kelab tempatan di sini di mana saya dikeluarkan pada minit ke-60 sewaktu perlawanan terikat 1-1.


“Sekarang saya fokus kepada program istimewa untuk membina fizikal serta tahap kecergasan saya dan itulah yang dimahukan oleh pengurusan sekarang.


“Insya-Allah, saya dapat bermain bersama pasukan dalam Jupiler League Belgium 10 hari akan datang,” katanya.


Dalam perkembangan lain, Luqman mengakui keyakinannya bertambah semakin baik berkat sokongan daripada keluarga ang­katnya.


Katanya, dia dapat menyesuaikan diri dengan lebih cepat selepas mendapat bantuan daripada bapa angkatnya, Ar­nout Vercruysse yang sering membantunya ketika di luar padang.


“Semakin hari semakin bertambah keyakinan saya. Saya sangat bersyukur kerana memiliki keluarga angkat yang amat baik.


“Bapa angkat saya adalah bapa tunggal yang telah berpisah dengan isterinya. Pekerjaannya melibatkan perjanjian sosial komuniti berkaitan bekalan makanan.


“Beliau memiliki seorang anak lelaki yang berusia lima tahun bernama Ruben dan seorang anak perempuan berusia tujuh tahun bernama Merel.


“Mereka memberikan layanan cukup baik dan Jumaat ini, Insya-Allah beliau akan membawa saya pergi menunaikan solat Jumaat.


“Apa yang pasti, keluarga angkat saya adalah penyokong setia KVK dan sahabat karib kepada Timbalan Ketua Misi Kedutaan Belgium di Kuala Lumpur, Mathias Vanheusden.


Sementara itu, jurucakap kelab KVK mengakui kagum de­ngan persembahan Luqman yang berjaya melakarkan gol pertama buat kelab Belgium itu dalam tempoh singkat.


Katanya, jaringan itu memberikan petanda bagus buat Luqman sebelum diberikan peluang bermain bersama skuad senior sebaik Jupiler League Belgium bermula.


“Luqman memiliki segala-galanya pada peringkat usia muda. Kami telah melihat ke­upayaannya menjaringkan gol pertama dalam perlawanan persahabatan.


“Perlawanan ini adalah untuk tahap kecergasannya tetapi saya akui bahawa KVK perlu bekerja keras untuk membentuk fizikalnya.


“Paling mustahak sekarang, dia harus bersedia dan berada di tahap terbaik kerana Jupiler League Belgium merupakan satu pertandingan cukup kompetitif,” katanya.


Mohd. Fariq ialah penulis bebas..SUMBER-SUKAN KOSMO ONLINE

No comments:

Post a Comment