MyMetroMutakhir
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.myYANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggesa rakyat untuk menghormati dan mempertahankan perlembagaan persekutuan termasuk semua perkara dan hak keistimewaan yang disepakati sebelum ini.
Titah baginda peristiwa hitam perbalahan antara kaum menyedarkan pemimpin negara akan perlunya satu formula untuk dijadikan pegangan ke arah membentuk penyatuan dan perpaduan.
"Lantaran itu, lahirlah Rukun Negara yang dijadikan sebagai asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan negara bangsa
"Terkandung dalam setiap lima prinsip Rukun Negara adalah formula bagaimana rakyat yang berbilang bangsa, agama, budaya dan bahasa, boleh mengatasi segala perbezaan dan kepelbagaian itu, seterusnya hidup secara rukun dan damai," titah baginda ketika menyempurnakan Titah Diraja sempena ulang tahun Ke-50 Rukun Negara dan Hari Kebangsaan 2020 di Dataran Pahlawan Putrajaya, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Maimunah Iskandariah.
Hadir sama, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Menteri Komunikasi dan Multimedia, empat Menteri Kanan serta pegawai tinggi kerajaan.
Seri Paduka bertitah, prinsip teras Rukun Negara adalah bersifat sejagat yang merentasi nilai-nilai murni semua bangsa dan agama, yang berupaya menyuluh laluan rakyat Malaysia dalam amalan hidup sebagai sebuah negara yang merdeka.
"Oleh itu, prinsip itu seharusnya menjadi panduan serta amalan oleh semua pihak termasuk pemimpin negara, kerajaan dan rakyat Malaysia keseluruhannya.
"Beta ingin berpesan, Rukun Negara bukan sekadar dijulang secara simbolik menerusi bacaan pada saban tahun kita menyambut Hari Kebangsaan.
"Sebaliknya, roh dan semangat Rukun Negara hendaklah dihayati dan diamalkan dalam setiap aspek kehidupan seharian," titah baginda.
Al Sultan Abdullah turut merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan yang amat prihatin dalam usaha mengukuhkan semula ekonomi dan kewangan negara sepanjang sepanjang negara berhadapan dengan pandemik Covid-19.
"Beta juga berkeyakinan pelbagai program dan inisiatif yang sudah dan bakal diambil oleh kerajaan Beta bakal membawa semula negara melayari kejayaan yang diimpikan.
"Beta turut ingin menyampaikan terima kasih kepada seluruh rakyat yang menzahirkan ketahanan dan semangat prihatin yang tinggi.
"Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara, Beta ingin mengajak rakyat sekalian untuk menghargai serta menjaga kemerdekaan dan keamanan yang dikecapi negara," titah baginda.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2020 @ 8:57 AM
No comments:
Post a Comment