SUKAN
TONGGAK import PJ City FC, Washington Brandao Dos Santos (dua dari kiri) cuba membawa bola melepasi kawalan pertahanan Selangor pada aksi kelima Liga Super semalam. - FB PJ CITY FC
Satu mata berharga buat PJ City
Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
30 Ogos 2020, 6:02 pm
KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih kelab Petaling Jaya City FC (PJ City), K. Devan tetap berpuas hati meskipun skuad bimbingannya sekadar seri tanpa jaringan dengan Selangor pada aksi kelima Liga Super di Stadium UiTM Shah Alam semalam.
Devan, 53, menganggap ia satu kejayaan buat PJ City kerana berjaya mengelak daripada kekalahan selepas terdahulu tewas 0-2 kepada Terengganu FC sewaktu aksi keempat Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada Sabtu lalu.
“Kami tewas dalam perlawanan menentang Terengganu sebelum ini, jadi objektif hari ini (semalam) sudah tentu kami tidak mahu kalah lagi.
“Ia bukan mudah kerana Selangor adalah pasukan yang baik. Jadi, kami datang ke sini untuk bertahan dengan baik dan cuba mencari ruang melakukan serangan balas pantas dalam usaha menjaringkan gol.
“Pujian harus diberikan kepada semua pemain yang begitu berdisiplin dan bermain bersungguh-sungguh dalam perlawanan ini. Akhirnya kami berjaya mengutip satu mata dan mencapai objektif pasukan,” katanya selepas tamat perlawanan semalam.
Keputusan seri itu menyaksikan PJ City kini menduduki tangga ke-10 Liga Super dengan lima mata daripada lima perlawanan, manakala Selangor pula berada pada kedudukan kelapan.
PJ City selepas ini dijadualkan bertemu pasukan tangga keempat, Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 5 September ini. SUMBER-– K! ONLINE
No comments:
Post a Comment