MyMetroArena
Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) mengukuhkan kedudukan di persada Liga Super selepas menewaskan Pahang 3-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebentar tadi.
Tiga gol pada separuh masa pertama sudah cukup untuk memastikan kemenangan buat skuad Harimau Selatan. Pada perlawanan itu, pelawat tidak menunggu lama untuk membolosi gawang tuan rumah menerusi Leandro Velazquez hasil sepakan percuma yang menewaskan penjaga gol, Mohd Sharbinee Allawee Ramli seawal minit keempat.
Minit ke-14, pintu gol tuan rumah dibolosi kali kedua yang dijaringkan oleh penyerang, Muhammad Ramadhan Saifullah Usman.
Pemain tengah Harimau Selatan, Gonzola Gabriel menambah duka Tok Gajah apabila mudah menyempurnakan penalti selepas Muhammad Ramadhan dijatuhkan oleh Herold Goulon pada minit ke-34.
Tersentak tiga gol itu, tuan rumah mula mengatur strategi dan serangan yang menghasilkan gol menerusi Mohd Faisal Abdul Halim meletakkan kedudukan 1-3 pada minit ke-39.
Sebelum berakhir separuh masa pertama, tandukan Goulon berjaya menewaskan penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias untuk merapatkan jurang 2-3.
Bersambung babak kedua, Pahang yang ketinggalan 2-3 berusaha mendapatkan gol penyamaan tetapi pertahanan kental lawan menggagalkan usaha itu.
Misi skuad Tok Gajah untuk sekurang-kurangnya mengikat Harimau Selatan gagal apabila akur tewas 2-3 di halaman sendiri.
SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 11:31 PM
No comments:
Post a Comment