BOLA
SUKAN»Bola
Jumaat, 21 Ogos 2020 | 7:34am
Aksi Wan Kuzri (kiri) ketika menentang Selangor II. - Foto ihsan fam.org.my
Aksi Wan Kuzri (kiri) ketika menentang Selangor II. - Foto ihsan fam.org.my
Wan Kuzri mahu jadi kapten
Oleh Syafiq Aznan
syafiq.aznan@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pemain tengah skuad bawah 19 tahun negara (B-19), Wan Kuzri Wan Kamal jelas berjiwa besar apabila menegaskan dia mahu menjadi pemimpin dan membantu membawa pasukan itu pergi lebih jauh di arena antarabangsa.
Pemain dari Akademi Bolasepak St Louis di Amerika Syarikat itu juga percaya pasukan itu memiliki potensi tersendiri dan mengakui mereka perlu terus bekerja keras bagi meningkatkan lagi kualiti permainan.
"Saya mahu menjadi ketua untuk pasukan ini dan membawa kita ke peringkat yang belum pernah kita capai sebelum ini. Sebab itulah saya berada di sini dan saya mahu menjadi bertambah baik bersama rakan sepasukan yang lain.
"Untuk menjadi seorang ketua, saya perlu menjadi seorang yang berkeyakinan dan dipercayai rakan sepasukan. Saya sentiasa yakin pada diri sendiri, jadi pasukan juga tentu akan percaya kepada saya," katanya.
Dalam masa sama, adik kepada Wan Kuzain itu menjelaskan pemain Malaysia sememangnya memiliki kualiti yang hampir sama dan tidak jauh bezanya dengan pemain dari pasukannya yang beraksi di negara 'Uncle Sam' itu.
Malah, peluang yang diberikan jurulatih, Brad Maloney untuk terus kekal bersama skuad B-19 juga akan dimanfaatkan sepenuhnya pemain berusia 19 tahun itu.
"Saya rasa tahap pemain di sini dan pasukan saya di sana (Amerika Syarikat) hampir serupa. Jadi untuk membandingkan antara dua pasukan ini, saya berpendapat ia sama.
"Buat masa ini, saya akan kekal berada di sini dan pasukan saya juga mahu saya di sini. Mereka berpendapat ini peluang untuk saya, jadi saya akan manfaatkan sebaiknya," katanya.
No comments:
Post a Comment