MyMetroArena
Nor Amalina Alias
am@hmetro.com.my
KELANTAN kini mengharap keajaiban berlaku pada baki enam perlawanan Liga Perdana selepas tewas 0-3 kepada Pulau Pinang di Kota Bharu semalam.
Ketua Jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah berkata, pasukannya berdepan tugas sukar apabila terpaksa mengatasi pasukan yang disifatkan lebih kuat dan lebih bersedia dari segala aspek berbanding Kelantan.
Katanya, keputusan pengadil yang memberikan sepakan penalti pertama kepada Pulau Pinang turut menjadi 'turning point' yang merencatkan aksi aksi anak buahnya.
"Kita perlu melihat Pulau Pinang lebih bersedia daripada kita, dari segi jenis permainan yang diterapkan dengan hantaran jauh untuk sasaran (target man) itu sedikit sebanyak menggoncangkan keyakinan pemain.
"Kita juga fokus kepada Casagrande yang dilakukan pada separuh masa pertama dan terikut di separuh masa kedua," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas tamat perlawanan Kelantan menentang Pulau Pinang di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu.
Yusri berkata, ketiadaan pemain senior ketika diperlukan turut memberi tekanan buat Kelantan selepas pemain berpengalaman seperti Mohd Nazrin Mohd Nawi, Mohd Farisham Ismail dan Afiq Saluhudin direhatkan akibat kecederaan.
Selain kehilangan pula khidmat pertahanan kanan, Mohamad Khairul Asyraf Ramli yang dilayangkan kad merah, pada perlawanan itu.
Menurut Yusri, dia terpaksa membuat giliran menggunakan pemain yang ada bagi aksi pertemuan menentang Selangor II, Sabtu ini.
"Jadual tidak memihak kami. Kita terlewat banyak benda dan kehilangan banyak aspek, lawan pula pasukan yang kuat, tidak sama taraf dengan Kelantan, selepas Pulau Pinang, kita berdepan pula Selangor II, juga pasukan yang kuat.
"Jadi kita berharap ada keajaiban berlaku dalam baki saingan liga untuk kita berada pada kedudukan lima teratas dan menempatkan diri dalam Liga Malaysia, apapun kita perlu bekerja lebih kuat," katanya.
Walaupun tidak menyatakan dengan jelas, namun nada suara jurulatih berusia 44 tahun itu seakan mengharapkan Kelantan segera dibantu dari aspek kewangan supaya dapat memberi motivasi kepada pemain dan pegawai menghadapi perlawanan akan datang.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Pulau Pinang, Manzoor Azwira berkata, kemenangan ke atas Kelantan bukan laluan mudah apabila anak buahnya terpaksa bekerja keras menembusi benteng Kelantan.
Katanya, ini kerana Kelantan 'merantai' penjaring terbanyak liga, Anselmo Casagrande yang dimiliki Skuad Harimau Kumbang.
"Kita tengok Casagrande dapat bola, dua tiga pemain Kelantan buat halangan dan saya rasa agak lega bila ada pemain lain dapat gantikan Casa (Casagrande).
"Walau bagaimanapun, masih ada ruang yang perlu diperbaiki untuk hadapi saingan liga," katanya.
Pulau Pinang kini menduduki tangga kedua carta manakala Kelantan kekal di tangga ketujuh.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 6:08 PM
No comments:
Post a Comment