Ad

Friday 28 August 2020

Dollah resah bertemu JDT

SUKAN

DOLLAH mengakui pening kepala untuk mempersiapkan kesebelasan utama yang sempurna untuk melayan kunjungan JDT pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini. – PAHANG FA

Dollah resah bertemu JDT

Oleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI

27 Ogos 2020, 10:02 pm


TUGAS getir menanti pasukan Pahang menjelang aksi Liga Super menentang pendahulu saingan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Makmur malam ini.


Ketua jurulatih skuad Tok Gajah, Dollah Salleh mengakui berada dalam keadaan buntu apabila beberapa pemain termasuk empat pemain import mungkin tidak dapat diturunkan akibat kecergasan.


Empat pemain tersebut adalah Dickson Nwakaeme, Ivan Carlos, Herold Goulon dan Adam Reed manakala Khalil Khamis masih berada di Lebanon gara-gara pandemik Covid-19 serta letupan besar di Beirut sebelum ini.


Daripada senarai empat pemain yang diragui kecergasannya, hanya Nwakaeme berpeluang untuk diturunkan, namun keputusan akan dibuat sebelum perlawanan.


“Apa yang pasti, empat pemain import tidak boleh diturunkan malam esok (malam ini). Bagaimanapun, Dickson masih ada peluang (bermain) tetapi ia bergantung atas kecergasannya,” kata Dollah.


Tambah meresahkan Dollah, kelibat beberapa pemain utama tempatan termasuk Mohamadou Sumareh juga mungkin tidak dapat disaksikan malam ini kerana belum cergas serta berdepan masalah persefahaman.


Justeru, bekas jurulatih skuad kebangsaan itu mengambil langkah berjaga-jaga dengan me­manggil pemain daripada skuad Piala Presiden untuk berada dalam pasukan menentang JDT.


“Kami berada dalam situasi getir apabila beberapa pemain tempatan belum bersedia untuk diturunkan. Saya juga belum pasti sama ada Sumareh boleh beraksi atau tidak menentang JDT.


“Memandangkan Pahang berdepan situasi seperti ini, saya terpaksa menggunakan tenaga anak muda dengan me­manggil beberapa pemain daripada skuad Piala Presiden,” ujarnya.


Ketika ini, Pahang berada di kedudukan keempat liga dengan enam mata manakala JDT gah di persada liga mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan dan satu seri.SUMBER-KOSMO ONLINE

No comments:

Post a Comment