Ad

Saturday 29 August 2020

Perak tiada nasib, Melaka mahu kekal momentum

 MyMetroArena

MELAKA United pulang ceria dari Ipoh. FOTO FB Melaka United

BERNAMA

KETUA jurulatih Perak, Mehmed Durakovic mengakui nasib tidak menyebelahi pasukan bimbingannya apabila tewas 0-1 kepada Melaka United dalam aksi Liga Super Malaysia di Stadium Perak, semalam.


Beliau berkata, pasukannya mempunyai banyak peluang namun keampuhan jentera pertahanan pelawat yang diketuai Razman Roslan menggagalkan anak buahnya mengutip tiga mata penuh.


"Kami telah cuba bersungguh-sungguh tetapi beberapa peluang daripada Guilherme (De Paula) dan Fikri (Muhammad Shahrel Fikri) tidak berjaya menghasilkan gol.


"Ketiadaan beberapa pemain utama seperti Careca (Rai Anderson) dan J Parthiban juga sedikit sebanyak merencatkan permainan. Apa pun, kami telah tampilkan permainan yang baik dalam perlawanan ini," katanya dalam sidang media selepas selesai perlawanan semalam.


Dalam perlawanan itu, gol tunggal Melaka dijaringkan Muhammad Ferris Danial pada minit ke-51 selepas membolosi gawang yang dikawal Mohammad Nasrullah.


Mehmed berkata, kekalahan itu akan dijadikan pengajaran dalam meningkatkan prestasi untuk kembali meraih kemenangan dalam perlawanan akan datang.


Sementara itu, pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan berkata, disiplin tinggi selain mengikut sepenuhnya perancangan taktikal yang dirancang menjadi faktor penyumbang kepada kemenangan pasukannya.


"Para pemain wajar diberikan pujian kerana tak banyak memberikan peluang kepada pasukan lawan walaupun pada hujung permainan pasukan tuan rumah melakukan serangan bertubi-tubi. Bagi saya, kemenangan ini amat penting untuk kita memperbaiki kedudukan," katanya.


Beliau berharap prestasi seumpama itu akan dikekalkan khususnya dalam perlawanan menentang Terengganu di laman sendiri pada 4 September ini.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2020 @ 10:40 AM

No comments:

Post a Comment