Ad

Sunday, 30 August 2020

Kembara 285 kilometer bersama Jalur Gemilang

MyMetroMutakhir

ABDUL Rahman dan Suria Sukirman mengisi minyak di pekan Sungai Udang, Melaka sebelum meneruskan perjalanan ke bandar raya Melaka. FOTO Hassan Omar

Hassan Omar

am@hmetro.com.mySEMANGAT patriotisme pasangan suami isteri memakai pakaian bertemakan Jalur Gemilang dengan menaiki motosikal dipenuhi bendera di Sungai Udang, Tanjung Kling di Melaka hari ini, menarik perhatian ramai.


Bekas tentera, Abdul Rahman Abu Bakar, 53, dan suri rumah, Suria Sukirman, 51, sanggup menunggang motosikal sejauh kira-kira 285 kilometer (km) dari Kampung Tebok Pulai, Sabak Bernam, Selangor ke Melaka.


Dengan mengenakan pakaian dan pelitup muka berkonsep Jalur Gemilang, pasangan terbabit 'mengarak' tiga Jalur Gemilang bersaiz besar yang diikat kemas pada bahagian belakang motosikal.


Selain itu, motosikal Modenas Kriss 110 cc itu turut dihiasi dengan beberapa Jalur Gemilang bersaiz kecil yang dilekatkan dengan penuh cermat dan beralun menarik apabila bendera ditiup angin.


Abdul Rahman berkata, mereka memulakan perjalanan dari kampung pada 9.30 pagi semalam sebelum tiba di Rantau, Rembau, Negeri Sembilan, kira-kira 3 petang semalam.


"Kami bermalam di rumah kami di Rantau yang saya beli ketika berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebelum menyambung perjalanan selepas solat Zohor hari ini," katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di pekan Sungai Udang.


Beliau berkata, kira-kira jam 4.30 petang, mereka berhenti untuk mengisi minyak di stesen petrol berkenaan, selain menikmati minum petang.


Katanya, antara destinasi mereka seterusnya ialah Dataran 1Malaysia di Klebang dan Dataran Pahlawan di Bandar Hilir sebelum bergerak pulang ke Sabak Bernam petang esok.


Suria berkata, beliau dan suami menempah khas pakaian berkenaan bagi meraikan Hari Kebangsaan esok, sekali gus membuktikan kasih dan cinta mereka terhadap tanah air yang memberikan kehidupan aman dan sejahtera untuk mereka dan rakyat Malaysia.


"Alhamdulillah, inilah kali pertama kami melakukan penjelajahan bermotosikal sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan berharap ia mampu menambah seri sembutan Hari Kebangsaan tahun ini," katanya.


SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2020 @ 6:51 PM

No comments:

Post a Comment