Ad

Sunday 23 August 2020

Yusri tabik aksi lima bintang Kelantan

SUKAN

YUSRI benar-benar kagum dengan persembahan anak-anak buahnya ketika menewaskan UKM FC 5-1 pada aksi Liga Premier di Stadium MP Selayang semalam. – SHIDDIQIN ZON

Yusri tabik aksi lima bintang Kelantan

Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI

22 Ogos 2020, 10:12 pm


KETUA jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah tabik dengan aksi lima bintang yang dipamerkan oleh pasukannya yang mudah menewaskan kelab Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) 5-1 pada aksi Liga Premier di Stadium MP Selayang semalam.


Pada perlawanan itu, pemain muda The Red Warriors, Muha­mad Hakimi muncul wira selepas meledak jaringan hatrik manakala dua lagi gol terhasil menerusi pemain import, Felix Chidi Olidi.


Yusry berkata, apa yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya cukup luar biasa terutama ketika pasukan tersebut dilanda kemelut tunggakan gaji lebih empat bulan.


“Saya bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilakukan oleh pemain di atas padang kerana mereka mendominasi perlawanan dari awal hingga ke wisel penamat meskipun dibelenggu dengan masalah di luar padang.


“Malah, kekangan yang ada sebelum ini seperti kem latihan bermula lewat dan kekurangan aksi persahabatan turut tidak menjejaskan moral pemain untuk memberi 100 peratus di atas padang.


“Ini adalah komitmen dan pengorbanan terbesar barisan pemain dan saya harap keputusan itu menjadi motivasi untuk kami layak ke Piala Malaysia tahun ini,” katanya pada sidang akhbar selepas tamat perlawanan.


Sementara itu, Hakimi mengakui sangat teruja apabila dapat meledak hatrik walaupun di­arahkan beraksi di posisi bek kiri yang ternyata berbeza daripada kebiasaannya sebelum ini sebagai penyerang.


“Saya hanya lakukan seperti yang jurulatih mahu dan saya tidak mempunyai masalah untuk diletakkan di mana-mana posisi.


“Secara jujur, saya sendiri terkejut apabila mampu meledak hatrik. Namun, saya tidak mahu berpuas hati kerana masih ada ruang perlu diperbaiki khusus­nya


persefahaman dalam kala­ngan pemain,” kata pemain berusia 21 tahun itu.

SUMBER-https://www.kosmo.com.my/2020/08/23/yusri-tabik-aksi-lima-bintang-kelantan/


No comments:

Post a Comment