Ad

Tuesday 22 April 2014

Kapal selam UUV paling sesuai ganti Bluefin-21

 Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
kamilah.mustapha@kosmo.com.my
 
CONTOH sebuah kapal selam UUV yang boleh beroperasi sehingga 6,000 meter di dasar lautan.

KUALA LUMPUR - Penggunaan kapal selam unmanned underwater vehicles (UUV) merupakan aset yang paling sesuai digunakan ketika ini untuk misi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi kerana ia mampu menyelam sehingga 6,000 meter ke dasar lautan.

Pakar sistem pesawat dari Universiti Kuala Lumpur Malaysia Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT), Dr. Mohd. Harridon Mohd. Suffian (gambar kecil) berkata, UUV yang biasanya digunakan untuk tujuan pemetaan dasar laut itu merupakan aset terbaik untuk menggantikan Bluefin-21 yang hanya boleh menyelam sehingga 4,000 meter.

"Jika kenderaan dalam air autonomi (AUV) Bluefin-21 yang digunakan sekarang masih belum berjaya mengesan serpihan pesawat MH370, teknologi sonar kapal selam tanpa manusia itu (UUV) mampu mengesan serpihan pesawat di kawasan lebih dalam.

"Ada tempat yang dalam di Lautan Hindi mempunyai kawasan berlekuk dan bergunung yang menyukarkan pencarian yang dilakukan oleh Bluefin-21," jelasnya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.



Bluefin-21 telah memulakan misi kelapannya kelmarin di kawasan pencarian, namun masih gagal mengesan serpihan pesawat selepas tiada lagi isyarat dikesan alat pengesan pinger sejak 8 April.

Mohd. Harridon yang berpengalaman selama 16 tahun dalam bidang kejuruteraan mekanikal menambah, operasi pencarian menjadi lebih sukar walaupun menggunakan peralatan sonar di dasar Lautan Hindi disebabkan tiada serpihan pesawat ditemui.

"Pesawat MH370 mungkin mendarat secara 'soft landing' dan tenggelam sebagai satu objek besar di dasar Lautan Hindi sehingga menyukarkan sonar mengesannya kerana ketidakupayaan peralatan itu hingga ke dasar berkenaan.

"Dalam keadaan kesukaran pencarian di Lautan Hindi itu, tiada lagi alat lebih canggih kecuali sonar kapal selam yang boleh bergerak ke jauh dasar Lautan Hindi," jelasnya.

KOSMO ONLINE 22.4.14

No comments:

Post a Comment