Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KIRI: Sultan Ahmad Shah, Tengku
Abdullah
KUALA LUMPUR - Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) dikatakan bakal mendapat presiden baharu kerana
difahamkan Sultan Ahmad Shah tidak akan mempertahankan jawatannya dalam
pemilihan sempena Kongres FAM yang akan berlangsung bulan depan.
Jika ini berlaku, calon yang
akan menggantikan baginda ialah anakandanya, Tengku Abdullah yang ketika ini
merupakan timbalan presiden, walaupun nama-nama calon yang akan bertanding
untuk jawatan tertinggi dalam pemilihan sempena kongres ke-50 itu hanya akan
diumumkan hari ini.
Difahamkan sehingga petang
semalam, tiada nama lain dicalonkan untuk jawatan itu.
Desas-desus bahawa Sultan Ahmad
Shah tidak akan mempertahankan jawatan presiden untuk 2014-2018 semakin kuat
semalam, dan sumber yang rapat dengan FAM memberitahu baginda telah memikirkan
semasak-masaknya keputusan itu.
Bagaimanapun, persoalan itu
hanya akan disahkan oleh Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam
sidang akhbar selepas mesyuarat eksekutif FAM hari ini yang akan diumumkan
oleh.
'Difahamkan Tuanku (Sultan
Ahmad Shah) bersedia untuk melepaskan jawatan Presiden FAM dan merasakan inilah
detik terbaik untuk baginda melakukannya.
'Tuanku mahu menyerahkan
amanah kepada anakandanya (Tengku Abdullah) bagi meneruskan perjuangan
memartabatkan bola sepak negara yang ditinggalkannya.
'Ramai mempercayai Tengku
Abdullah sebagai calon yang tepat bagi meneruskan kesinambungan yang
ditinggalkan oleh Tuanku,' kata sumber berkenaan kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Utusan mendedahkan
bahawa Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) telah membuat keputusan
mencalonkan Tengku Abdullah sebagai presiden sekali gus memberi petanda Sultan
Ahmad Shah tidak akan bertanding pada kali ini.
Malah, 12 daripada 20 badan
gabungan FAM telah mencalonkan Tengku Abdullah sementara hanya lima sahaja
kepada Sultan Ahmad Shah.
Presiden Persatuan Bolasepak
Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula mendapat tiga pencalonan
dan Tengku Mahkota Johor difahamkan membuat keputusan untuk tidak bertanding
kerana mahu memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak di peringkat negeri.
Jika ini berlaku, bermakna
mesyuarat eksekutif FAM kali ke-11 hari ini, yang juga kali terakhir untuk
penggal 2010-2014, adalah kali terakhir Sultan Ahmad Shah mempengerusikan
mesyuarat.
Jika Tengku Abdullah ditabal
sebagai Presiden FAM yang baharu, persaingan timbalan presiden dijangka
melibatkan tiga penjuru antara dua naib presiden, Datuk Seri Subahan Kamal dan
Datuk Seri Afandi Hamzah serta Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor
(FAS), Datuk Mokhtar Ahmad.
Bagi jawatan naib presiden,
beberapa nama seperti Datuk Rosmadi Ismail (Naib Presiden Persatuan Bolasepak
Kelantan), Datuk Sudarsono Osman (Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak),
Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (Presiden Persatuan Bolasepak Perak) adalah
antara nama yang akan bertanding.
Nama lain yang dikatakan akan
merebut kerusi itu ialah Datuk Rozabil Abdul Rahman (Presiden Persatuan
Bolasepak Perlis), Datuk Astaman Abdul Aziz (Presiden Persatuan Bolasepak Kuala
Lumpur) dan Datuk Mohd. Junid Mohd. Noor (Setiausaha Persatuan Bolasepak Pulau
Pinang).RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140419/su_01/Sultan-Ahmad-Shah-lepas-jawatan#ixzz2zGv9cnFG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment