Oleh Herman Hamid
pengarang@utusan.com.my
Najib Tun Razak beramah mesra
dengan pelatih akademi sambil ditemani Khairy Jamaluddin Abu Bakar (kiri)
ketika hadir merasmikan Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara dan Akademi Bola
Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, Pahang, semalam. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
KUANTAN 10 April - Pelan
Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak di sini hari ini diangkat menjadi projek nasional dalam
usaha mengembalikan kegemilangan bola sepak negara sebagai sebuah kuasa disegani
di peringkat antarabangsa.
Menurut Perdana Menteri, dengan
pengisytiharan itu, pelan tersebut akan didokong oleh pihak kerajaan secara
keseluruhan tanpa lagi terhad kepada Kementerian Belia dan Sukan bersama
Kementerian Pendidikan serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Kata Najib, lain-lain pihak
khususnya sektor korporat turut diharapkan memberi sokongan dalam pelbagai
bentuk terutama penajaan selain mengharapkan komitmen ibu bapa dalam memberi
galakan kepada anak-anak untuk melibatkan diri dalam sukan bola sepak.
"Perlu saya tegaskan yang
projek ini tidak akan berjaya melainkan kita anggap ini projek nasional dengan
semua pihak memberi dokongan sepenuhnya. Ini bukan projek Kementerian Belia dan
Sukan, bukan projek Kementerian Pendidikan mahupun FAM.
"Ini projek rakyat
Malaysia, projek nasional. Dalam semangat tersebut, bagi pihak saya sebagai
Menteri Kewangan mengumumkan sumbangan pertama sebanyak RM10 juta untuk tujuan
ini," katanya ketika berucap melancarkan PPBN dan merasmikan Akademi Bola
Sepak Negara Mokhtar Dahari di sini.
Yang hadir sama, Menteri Besar,
Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri
Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Naib Presiden FAM, Datuk Seri Affandi
Hamzah.
Sementara itu, jelas Najib,
menjadi cita-cita peribadi beliau untuk melihat pasukan negara layak ke Piala
Dunia pada suatu hari nanti yang dianggapnya bukan perkara mustahil.
Namun kata Perdana Menteri,
bagi melihat Malaysia berjaya dalam bola sepak, semangat dan tulang empat kerat
sahaja tidak mencukupi sebaliknya perlu disusuli dengan perancangan tersusun
dan dibekalkan dengan sumber yang diperlukan.
Tambah beliau, sebab itu,
penekanan kepada aspek kejurulatihan termasuk di peringkat sekolah dalam pelan
ini sangat memberi makna kerana negara perlu meramaikan bilangan jurulatih
bertauliah.
"Kalaulah program bola
sepak di peringkat sekolah, cikgu campak bola kemudian dia duduk bawah pokok,
pelajar mainlah ikut masing-masing punya cara, maka macam ini mutu bola sepak
tak akan naik.
"Kalau nak main kenalah
dibimbing dari segi kemahiran taktikal. Tanpa bantuan jurulatih, kemahiran
pemain tak akan meningkat dengan sendiri," jelasnya.
Sementara itu, Najib dengan
nada tegas mengingatkan negara memerlukan lebih ramai jurulatih serta mereka
yang komited dalam sukan bola sepak dan bukannya bookie.
"Saya nak kata,
budak-budak kita mesti ada nilai, bermain untuk prestij negara, jangan
kompromi, kerana bookie kita jual maruah negara. Kalau itu penyakitnya sampai
bila-bila pun mutu bola sepak tak akan berkembang.
"Saya sebut perkara ini
sebab kita tahu penyakit ini wujud dan biarlah kita hapuskan kalau kita nak
PPBN berjaya," tegasnya.
RUJUKAN
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140411/dn_01/PPBN-projek-nasional---PM#ixzz2yZ38b42f
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment