KIM SWEE (dua dari kanan)
mengendalikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya
baru-baru ini.
JURULATIH sementara Harimau
Malaya, Datuk Ong Kim Swee menganggap pertembungan menentang Filipina di Cebu
malam ini tidak sama jika dibandingkan dengan aksi persahabatan di Stadium
Majlis Perbandaran Selayang pada 1 Mac lalu.
Kim Swee percaya Filipina akan
memberikan tentangan lebih hebat berbanding aksi di Selayang memandangkan The
Azkals memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.
Justeru, beliau berharap
anak-anak buahnya mempamerkan aksi cemerlang dalam usaha meraih keputusan
positif dalam aksi persahabatan tersebut.
"Saya tahu Filipina
memiliki satu pasukan lebih baik pada perlawanan kali ini jika dibandingkan
aksi di Selayang Mac lalu.
"Pada masa sama, saya
dapat menjangkakan bahawa perlawanan esok (malam ini) lebih sukar kerana kami
beraksi di gelanggang mereka.
"Tiada pasukan yang mahu
bermain untuk seri atau kalah. Jadi saya harap kami mampu melakar kejutan
dengan memenangi perlawanan tersebut.
"Apa pun taktikal yang
saya gunakan, pasti sedikit berlainan daripada pertemuan persahabatan di Selayang
sebelum ini yang berakhir seri tanpa jaringan," kata Kim Swee semalam.
Sementara itu, jurulatih
Filipina, Thomas Dooley tidak menganggap kehadiran pemain kelab Denmark,
Esbjerg FB, Jerry Lucana dan Martin Steuble daripada kelab Switzerland, FC Will
1990 memberi kelebihan buat The Azkals.
"Sebenarnya, kami berdepan
banyak masalah kecederaan dan ini saja pemain yang saya mampu kumpulkan.
"Mungkin ada sedikit
perubahan membabitkan lima hingga enam pemain berbanding pasukan yang saya
turunkan di (Selayang) Kuala Lumpur sebelum ini.
"Namun, kami tetap
menganggap aksi ini sebagai satu perlawanan yang cukup penting sebagai
persiapan menghadapi Piala Cabaran AFC bermula 20 hingga 30 Mei depan,"
katanya.
RUJUKAN –KOSMO ONLINE 27.4.14
No comments:
Post a Comment