Ad

Sunday 13 April 2014

Perlu fokus kepada setiap perlawanan - Zainal

 Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
Nahar.latib@utusan.com.my
 
Penyerang Pahang, Matias Conti (kanan) menjaringkan gol pertama Pahang dalam perlawanan Liga Super dengan T-Team di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin. Pahang menang 2-0. - UTUSAN/MAHATHIR ALI
KUANTAN - Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan mahu anak buahnya tidak bermegah dengan kedudukan selaku pendahulu Liga Super bagi mengelak dibuai khayalan yang akhirnya boleh mengganggu fokus mereka di atas padang.

Sebaliknya, bekas tonggak Pahang itu berkata, setiap perlawanan yang menanti dalam baki saingan Liga Super musim ini harus dihadapi dengan komitmen 100 peratus agar mencapai matlamat yang disasarkan.

“Alhamdulillah dengan melaksanakan perkara itu, pasukan Pahang berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan berturut-turut.

“Matlamat saya hanya untuk menyediakan pemain supaya setiap mereka lebih fokus dan bermain secara konsisten sepanjang 90 minit perlawanan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan Liga Super antara Pahang de­ngan T-Team di Stadium Darul Makmur di sini kelmarin.

Dalam perlawanan itu, Tok Gajah berjaya membenam T-Team 2-0 sekali gus mengukuhkan cengkaman sebagai pendahulu Liga Super.

Kemenangan itu membolehkan Pahang mengumpul 25 mata selepas 12 perlawanan dan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan berturut-turut.

Pahang memperoleh gol seawal minit kedua oleh penyerang import, Matias Conti, disusuli jaringan pemain kebangsaan, Azammuddin Mohd. Akil pada minit ke-57.

Zainal berkata, ketika ini moral pemain berada di dalam keadaan terbaik dan mereka optimis untuk mendapatkan keputusan positif dalam setiap perlawanan.

Dalam pada itu, mengenai perlawanan kelmarin, dia berbangga dengan kemenangan itu kerana katanya bukan mudah untuk mengalahkan pasukan yang sama dalam tempoh seminggu.

“Tambahan pula, T-Team turut dibarisi dengan pemain import baharu iaitu Leandro Dos Santos yang berasal dari Brazil, tetapi semua pemain menjalankan tugas dengan baik.

“Saya lihat Conti dan Fauzi Roslan selaku tonggak serangan turut membantu rakan-rakan di posisi lain ketika mene­rima asakan T-Team," katanya.

RUJUKAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140414/su_02/Perlu-fokus-kepada-setiap-perlawanan---Zainal#ixzz2ynqMlco5

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment