Oleh NOOR HASLIZA NUSI
hasliza.nusi@kosmo.com.my
SURI rumah dibawa ke Mahkamah
Majistret Balik Pulau semalam untuk ditahan reman.
BALIK PULAU – Tindakan berani
seorang ibu membawa masuk heroin yang dibalut menggunakan tembakau menyerupai
roti sardin gulung memakan diri apabila dia diberkas semasa menyerahkan
bungkusan tersebut kepada anak lelakinya di galeri awam Mahkamah Majistret di
sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 11.15
pagi, wanita yang berusia 56 tahun itu ditahan polis pengiring sebaik melihat
suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan memberi satu bungkusan beg
plastik kepada anaknya yang merupakan orang kena tuduh (OKT) di tangga galeri
awam kamar mahkamah.
Sebelum itu, anak lelaki wanita
itu yang berumur 35 tahun baru dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan atas
pertuduhan memiliki dadah di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Si ibu yang juga seorang suri
rumah dikatakan datang ke mahkamah bagi mengikuti perkembangan kes anaknya itu
selain dipercayai mahu menyerahkan bekalan dadah kepada anaknya yang turut
mempunyai beberapa pertuduhan lain berkaitan kes dadah.
Timbalan Ketua Polis Daerah
Barat Daya, Deputi Superintendan Siti Nor Salawati Saad berkata, malangnya
tindakan wanita itu disedari anggota polis selepas anak suspek itu cuba
menyerahkan bungkusan yang diberi ibunya kepada seorang lagi OKT lain yang
merupakan seorang lelaki berusia 57 tahun.
Menurut beliau, anggota polis
pengiring OKT yang dibawa ke mahkamah pada hari tersebut, sebelum itu telah
memberi arahan kepada semua OKT supaya tidak mengambil sebarang bungkusan
daripada mana-mana pihak termasuk daripada ibu sendiri.
RUJUKAN-KOSMO ONLINE 19.4.14
No comments:
Post a Comment