Ad

Friday, 11 April 2014

Sarawak kejutkan Penyu

Oleh ROSALINDA MD.SAID
dan MOHAMAD FAIZAL HASHIM
sukan@utusan.com.my
 
KUALA TERENGGANU - Skuad Bujang Senang menghancurkan rekod bersih Terengganu di tempat sendiri selepas meraih kemenangan 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu semalam sekali gus merencatkan impian skuad Penyu merampas takhta Liga Super daripada Pahang.

Kejayaan itu sekali gus berjaya menebus kembali maruah Sarawak selepas dimalukan di hadapan kira-kira 20,000 penyokong sendiri dengan keputusan 1-3 kepada Terengganu di Stadium Nege­ri, Kuching, Sarawak minggu lalu.

Sarawak membuka tirai jari­ngan melalui rembatan S.Chanturu pada minit kedua perlawanan hasil hantaran silang pemain import baru dari Australia, Ryan Griffiths.

Tersentak dengan gol awal itu, Terengganu yang beraksi di laman sendiri dengan sokongan padu penyokong setia, garang melancarkan banyak gerakan berbahaya sepanjang masa pertama perlawanan berlangsung.

Selepas serangan demi sera­ngan, skuad kendalian Abdul Rahman Ibrahim itu akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan pada minit ke-36 menerusi jaringan gol sendiri pemain Sarawak, Junior Eldstal yang berpunca daripada sepakan sudut.

Namun ketika tuan rumah ghairah mencari gol kemenangan, anak-anak buah Robert Alberts menghukum kealpaan benteng tuan rumah pada babak kedua perlawanan apabila Griffiths memberikan gol yang cukup berharga pada minit ke-75 menerusi hantaran Mazwandi Zakaria.

Di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Darul Ta'zim (JDT) menang tipis ke atas PKNS 1-0 hasil jaringan sendiri pemain lawan, Mohd. Aminuddin Mohd. Noor pada minit kedua.

Bersemangat dengan gol tersebut, pasukan tuan rumah terus mencipta beberapa peluang bagi melebarkan jaringan menerusi Norshahrul Idlan Talaha dan Luciano Figueroa namun tidak membuahkan hasil.

Bermula babak kedua, Safiq Rahim mempunyai peluang cantik namun rembatan luar kotak yang dilakukan tepat ke arah bekas penjaga gol JDT, Muhd. Zamir Selamat selain Figueroa dan Amri Yahyah masing-masing yang mempunyai beberapa peluang keemasan gagal menemui sasaran.

Bekas pemain antarabangsa Argentina, Pablo Aimar yang dima­sukkan menggantikan Norshahrul Idlan Talah turut mempunyai beberapa peluang gol tetapi kecekapan Zamir sekali lagi menjadi penghalang kepada JDT untuk mencipta kemenangan dengan keputusan yang lebih selesa.
RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140412/su_03/Sarawak-kejutkan-Penyu#ixzz2ycomVCiL

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment