Anggota tentera laut Australia,
Richard Brown (kiri) menggunakan teropong di atas kapal HMAS Perth dalam usaha
mengesan serpihan pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi, baru-baru ini. - AFP
PERTH 10 April - Zon mengesan
isyarat kotak hitam pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 telah dikecilkan di
Lautan Hindi hari ini, selepas dua isyarat baharu dikesan oleh kapal Ocean
Shield.
Ketua Penyelaras Pusat
Koordinasi Agensi Bersama (JACC), Angus Houston berkata, zon carian di barat
Australia kini dikecilkan kepada 57,923 kilometer (km) persegi, kira-kira
20,000 kilometer persegi berkurangan berbanding semalam.
"Bagaimanapun, kapal Ocean
Shield akan tertumpu di kawasan Lautan Hindi kira-kira 2,280 kilometer dari
barat daya Perth yang mana lokasi dua isyarat getaran baharu dikesan pada
Selasa lalu.
"Tiada serpihan pesawat
MH370 dikesan setakat pencarian semalam. Pasukan mencari mengesan sejumlah
besar objek di permukaan laut semalam, namun hanya beberapa objek kecil
ditemukan.
"Tetapi semua objek yang
dijumpai itu tiada kaitan dengan pesawat MH370," katanya.
Jelas Houston, beliau berharap
serpihan kapal terbang itu akan ditemui dalam beberapa hari walaupun jangka
hayat bateri kotak hitam itu mula berkurangan.
Dalam pada itu, beliau berkata,
pihaknya khuatir beberapa isyarat yang dikenal pasti pada awalnya, mungkin
tidak dapat dikesan lagi berikutan jangka hayat bateri kotak hitam MH370 hanya
mempunyai kira-kira 30 hari sahaja.
"Isyarat semalam akan
membantu dalam menentukan kawasan pencarian yang lebih jelas dan memudahkan
operasi kesan MH370 di kawasan dasar laut.
"Saya percaya, kami sedang
mencari di kawasan yang betul namun, perlu mengenal pasti secara visual pesawat
itu sebelum mengesahkan bahawa itu merupakan lokasi terakhir MH370,"
katanya.
Katanya, operasi mengesan
isyarat kotak hitam pesawat MH370 akan berterusan.
"Mudah-mudahan dengan
banyak isyarat yang diperoleh, kami akan mempunyai kawasan pencarian yang jelas
dan kecil. Malah, dalam beberapa hari lagi, kita jangkakan dapat mencari
sesuatu benda di bawah laut yang mungkin boleh disahkan lokasi terakhir
MH370," katanya.
Semalam, Australia mengesahkan
isyarat pertama yang dikesan adalah konsisten dengan isyarat yang akan
dikeluarkan oleh sebuah perakam kotak hitam.
"Analisis ini menunjukkan
bahawa isyarat yang diterima sangat stabil, berbeza dan jelas dikesan pada
frekuensi 33.31 kilohertz (kHz) serta ia berdenyut secara konsisten pada selang
1.106 saat," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa
frekuensi boleh berubah mengikut masa dan keadaan.
"Bagaimanapun, pakar
percaya isyarat berkenaan konsisten dengan spesifikasi dan gambaran perakam
data penerbangan," katanya.
Lebih 10 pesawat tentera, empat
pesawat awam dan 13 kapal terlibat dalam operasi mencari pesawat MH370 yang
membawa seramai 239 penumpang bersama anak kapal yang hilang ketika dalam
penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China. - AFP
RUJUKAN-Artikel Penuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140411/dn_02/Zon-mencari-kotak-hitam-diperkecilkan#ixzz2yZjopTuR
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment