WARTAWAN SINAR HARIAN
10 April 2014
Lee Chong Wei Lee Chong Wei
JIKA peluang negara untuk
mendakap Piala Thomas sudah dijangka, namun kini persoalan lain timbul iaitu
adakah sasaran awal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk melihat kem
badminton negara melangkah sehingga ke separuh akhir saingan Piala Thomas di New
Delhi, India Mei depan akan tercapai?
Ini kerana, berdasarkan
prestasi skuad badminton negara yang dilihat semakin runcing khususnya ketika
kejohanan Terbuka India yang baru melabuhkan tirainya baru-baru ini,
kebimbangan mula timbul di kalangan peminat mengenai peluang Malaysia dalam
kejohanan berprestij itu nanti.
Kecuali Datuk Lee Chong Wei
yang kekal berada dalam kelas tersendiri, baki pemain perseorangan negara yang
lain agak membimbangkan dengan Chong Wei Feng 'bungkus awal' sementara Liew
Daren hanya menjalani latihan ringan kerana belum pulih daripada kecederaan.
Sementara gandingan beregu
negara juga tidak menyinar di Terbuka India, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong
tersingkir seawal pusingan pertama.
Juara Siri Super Premier
Terbuka Malaysia, Januari lalu iaitu Goh V Shem-Lim Khim Wah turut gagal
menunjukkan aksi cemerlang apabila terkandas di pusingan kedua.
Dan melihat prestasi semasa
itu, ternyata peluang untuk mara ke separuh akhir seperti mana yang dicanang
BAM tampak sukar, apatah lagi untuk menjulang Piala Thomas.
Malah ada yang beranggapan
kemungkinan skuad negara bakal dimalukan buat pertama kali apabila tersingkir
awal di peringkat kumpulan yang akan berlangsung di India bermula 18 hingga 25
Mei nanti.
Sebagai rekod, kali terakhir
Malaysia muncul juara Piala Thomas ialah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur
apabila menumbangkan Indonesia di pentas final.
Edisi 2012 di Wuhan, China
menyaksikan Malaysia tersingkir seawal peringkat suku akhir.
Persoalannya kini, mampukah
Malaysia melepasi sasaran yang diletakkan BAM atau mengekalkan pencapaian yang
dilakukan dua tahun lalu ataupun situasi lebih buruk akan berlaku tahun ini?.
Menjawab persoalan itu,
Timbalan Presiden BAM, Datuk Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun tetap
menganggap semua prestasi semasa itu bukan perkiraan sebenar, sebaliknya beliau
yakin barisan pemain negara akan berada pada tahap terbaik di saingan Piala
Thomas nanti.
"Berdasarkan undian
diterima, Malaysia dijangka mudah melepasi suku akhir dan sekiranya latihan
giat dilakukan serta semangat juang yang menebal dalam diri pemain, saya rasa
kita mampu untuk melangkah ke separuh akhir.
"Saya akui bila berhadapan
dengan Piala Thomas, ia automatik melibatkan maruah dan prestasi negara. Tapi
saya yakin kita mampu mempunyai pasukan yang seimbang menjelang kejohanan itu
nanti," katanya.
Dalam kejohanan itu nanti,
Malaysia dijangka mudah melepasi peringkat kumpulan apabila diundi dalam
Kumpulan C bersama India, Korea Selatan dan Jerman.
SINAR HARIAN 10.4.14
No comments:
Post a Comment