Puluhan rakyat Malaysia ke
Syria
SEORANG bekas pemuzik kumpulan
rock terkenal (duduk kiri) bergambar bersama dua pejuang tentera pemberontak
dipercayai di Syria.
KUALA LUMPUR 30 April - Puluhan
rakyat Malaysia dikatakan pergi ke Syria sejak dua tahun lalu atas nama
perjuangan jihad bagi membantu umat Islam di negara bergolak itu termasuk
seorang ustaz militan yang ditangkap pihak berkuasa Ahad lalu.
Yang turut menyertai ustaz
berkenaan ialah seorang bekas pemuzik sebuah kumpulan rock terkenal tanah air
pada tahun 90-an.
Malah lebih mengejutkan ada
antara rakyat Malaysia yang ke sana dipercayai terbunuh dalam pertempuran yang
boleh dikaitkan sebagai peperangan saudara di negara tersebut.
Sumber keselamatan mendedahkan,
segelintir rakyat Malaysia dikesan pergi ke Syria setelah terpengaruh dengan
dakyah pihak tertentu kononnya mereka boleh mati syahid di negara berkenaan.
Kata beliau, kerajaan sama
sekali tidak membenarkan rakyat Malaysia mencampuri urusan negara lain dan
berikutan itu, rakyat negara ini yang ke sana dan jika terbukti bersalah, boleh
dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut sumber itu, siasatan
polis percaya mereka yang terlibat mempunyai kaitan dengan 10 individu
dipercayai ahli kumpulan militan yang ditahan polis dalam operasi khas di Kedah
dan Selangor, pada 27 April lalu dan semalam.
Kita percaya kesemua mereka
itu menyasarkan untuk berjihad ke Syria setelah terpengaruh dengan dakwaan yang
mengatakan Presiden negara berkenaan iaitu Bashar al-Assad menindas para ulama.
Bagaimanapun kumpulan itu
tidak sedar, pemberontakan tersebut adalah tajaan pihak Barat untuk menjatuhkan
Bashar kerana menyokong Iran dan menentang Israel," katanya ketika
dihubungi di sini hari ini.
Menurut sumber tersebut,
siasatan turut mendapati rakyat negara ini yang ke Syria dilatih secara ala
tentera termasuk dipercayai menggunakan senjata api sebelum berlepas ke negara
berkenaan.
Kata beliau, kumpulan berkenaan
kemudian dipercayai akan menaiki penerbangan sama ada ke Turki, Jordan dan
Lebanon sebelum ke Syria kerana Malaysia tidak mempunyai penerbangan terus ke
negara tersebut.
Di Syria, kumpulan ini akan
berhubung dengan puak penentang kerajaan sebelum menyertai mana-mana
pertempuran yang sehingga kini meragut puluhan ribu nyawa dan jutaan menjadi
pelarian," katanya.
Sumber itu seterusnya berkata,
pihak berkuasa kini sedang memburu saki-baki ahli kumpulan terbabit yang
merancang untuk berjihad di Syria bagi menyekat kegiatan mereka.
Pada 27 April lalu, polis
menahan sembilan individu dipercayai ahli sebuah kumpulan militan dalam
beberapa serbuan di Selangor dan Kedah.
Polis kemudian menahan seorang
wanita pada keesokannya yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan tersebut.
Utusan Malaysia hari ini turut
mendedahkan satu laman sosial video Youtube berhubung kegiatan seorang ustaz
yang pergi ke Syria untuk berjihad.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140501/je_01/Puluhan-rakyat-Malaysia-ke-Syria#ixzz30PiiOgJu
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment