Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Safee Sali
KUALA LUMPUR - Diberikan
sepakan penalti pada minit terakhir permainan, Safee Sali bagaimanapun
meranapkan impian peminat Harimau Malaya apabila dia gagal menewaskan penjaga
gol Filipina, Patrick Deyto untuk kedua-dua pasukan berpuas hati dengan
keputusan seri 0-0 dalam perlawanan persahabatan di Cebu malam tadi.
Keputusan ini melebarkan rekod
seri kedua-dua pasukan kepada empat sepanjang pertemuan mereka di peringkat
antarabangsa dalam tempoh dua tahun.
Bagaimanapun,
sekurang-kurangnya rekod tanpa kalah jurulatih sementara, Datuk Ong Kim Swee
sejak menggantikan Datuk K. Rajagobal bersama Harimau Malaya masih kekal
selepas tiga perlawanan.
Harimau Malaya kelihatan
terkapai-kapai beraksi di atas padang yang jelas tidak sesuai untuk perlawanan
antarabangsa dan sering kali terperangkap dengan pergerakan pemain Filipina.
Pendekatan Kim Swee memilih
corak permainan bertahan dengan meletakkan Mohd. Norfarhan Muhammad sebagai
penyerang tunggal menyebabkan mereka hanya berharap kepada serangan balas bagi
mendapatkan jaringan.
Mujur aksi kemas di bahagian
pertahanan yang diterajui Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak dan Fadhli Shas
memastikan Filipina yang menguasai lebih 60 peratus permainan tidak mampu
mendapatkan sebarang jaringan dan mengulangi keputusan yang sama di Stadium
Selayang, 1 Mac lalu.
Kim Swee terpaksa memasukkan
Baddrol Bakhtiar di bahagian tengah selepas Safiq Rahim disahkan tidak mampu
bermain apabila gagal pulih daripada kecederaan tapak kaki dengan Junior
Eldstal turut diletakkan di dalam kesebelasan utama bagi mengimbangi kelebihan
fizikal yang dimiliki pemain Filipina.
Babak pertama memperlihatkan
kelonggaran yang cukup ketara terutama di bahagian tengah dengan asakan
menggila dilancarkan oleh tuan rumah terutama menerusi James Younghusband dan
Simone Rota selain banyak melancarkan hantaran lintang ke dalam kotak penalti.
Harimau Malaya yang banyak
mengharap serangan balas membuat percubaan terbaik menerusi Mohd. Amri Yahyah
pada minit ke-11 yang sekadar menyepak lemah dan bola terus ke dakapan Patrick.
Kecekapan Patrick yang bijak
mengagak gerakan solo Junior Eldstal yang sebelum itu menewaskan dua pertahanan
Filipina menyelamatkan pintu gol tuan rumah daripada dibolosi pada minit ke-61.
Namun, dua minit kemudian
Patrick nyaris menghadiahkan jaringan kepada skuad negara apabila tidak dapat
menampan bola hantaran belakang rakan sepasukan, Martin Steuble namun bola
tidak menepati ke arah pintu gol.
Kehadiran Nathaniel Burkey yang
masuk selaku pemain gantian jelas memberikan banyak masalah kepada pertahanan
negara yang mendapat banyak peluang keemasan memecahkan kebuntuan jaringan.
Pada minit ke 75, percubaan
Nathaniel sekadar sipi walaupun berada di hadapan pintu gol dan tiga minit
kemudian bola sepakannya singgah di palang gol hasil rembatan dari luar kotak
penalti.
Skrip perlawanan hampir sahaja
berubah pada minit ke-90 apabila bola mengenai tangan Steuble dan pengadil
perlawanan dari Indonesia, Thoriq Munir menghadiahkan sepakan penalti kepada
Harimau Malaya.
Safee, yang baru sahaja masuk
menggantikan Amri dua minit sebelum itu dan belum menyentuh bola, merembat ke
kanan pintu gol tetapi dikecewakan oleh Patrick sekali gus memberi kelegaan
kepada 5,000 penonton tuan rumah yang hadir.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140428/su_01/Seri-lagi-Safee-gagal-jaring-penalti#ixzz308JiVv4Z
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment