Ad

Thursday, 10 April 2014

Selangor mahu tebus kesilapan

 
THAMIL ARASU (kanan) meletakkan Selangor di depan ketika seri 1-1 dengan T-Team pada aksi Liga Super kelmarin.

JURULATIH Selangor, Mehmet Durakovic mengakui bahawa mereka sepatutnya membawa pulang tiga mata penuh dari Kuala Terengganu tetapi sekadar seri 1-1 dengan T-Team pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin.

Seperti biasa, pengendali kelahiran Australia itu enggan menyalahkan anak-anak buahnya seratus peratus biarpun Selangor terlepas peluang merampas kedudukan pendahulu Liga Super daripada Pahang.

Mehmet berkata, faktor kepenatan menjejaskan tahap persembahan skuad Gergasi Merah yang turut beraksi pada kempen Piala AFC.

Pada aksi menentang T-Team, A. Thamil Arasu membuka tirai jaringan pada ke-15 sebelum pemain import tuan rumah, Patrich Wanggai menyamakan kedudukan ketika saingan berbaki dua minit.

"Pada aksi separuh masa pertama, saya sangat gembira dengan persembahan barisan pemain-pemain saya.

"Saya rasa kami berupaya meledakkan dua atau tiga gol dalam babak pertama tetapi bila bersambung pada separuh masa kedua, kami leka dan menyebabkan gawang kami bolos menerusi gerakan set piece.

"Pemain-pemain saya bukan mesin. Benar, kami sepatutnya membawa pulang tiga mata tetapi saya juga berpuas hati dengan keputusan seri ini kerana kami bermain di gelanggang lawan," katanya.

Dalam perkembangan sama, Mehmet menegaskan, skuad kendaliannya akan berusaha lebih keras pada aksi menentang Perak, Sabtu depan setelah terlepas peluang untuk menghuni tangga teratas Liga Super.

"Tidak dapat dinafikan, ia adalah suatu pencapaian yang menakjubkan jika kami muncul sebagai pendahulu Liga Super.

"Selangor menghadapi krisis pemain kerana ramai pemain kami ditimpa masalah kecederaan dan digantung perlawanan," katanya.

SUMBER-KOSMO ONLINE10.4.14

No comments:

Post a Comment