Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my
MARUAH The Red Warriors kini
tergalas di bahu barisan pemainnya dalam usaha mengembalikan semula reputasi
pasukan yang terjejas teruk selepas diaibkan oleh Sime Darby 0-4 dalam pertemuan
Liga Super Selasa lalu.
Justeru, pertemuan dengan
Sarawak di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini merupakan medan
terbaik bagi mengembalikan status mereka sebagai antara pasukan terkuat dalam
saingan Liga Super.
Begitupun The Red Warriors
dijangka berdepan ujian getir selepas kehilangan khidmat ketua jurulatih, Steve
Darby yang direhatkan buat sementara waktu daripada mengemudi pasukan
berkenaan.
Pengendali sementara The Red
Warriors, Mohd. Hashim Mustapha mahu barisan pemainnya segera melupakan
kekalahan kepada Sime Darby dan kembali fokus pada pertemuan dengan Sarawak.
Menurut Hashim, hanya
kemenangan ke atas Sarawak mampu memulihkan moral pasukannya setelah dikejutkan
dengan berita pemecatan Darby oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dua
hari lalu.
"Jujurnya, saya masih
terkejut dengan berita penyingkiran Darby. Saya mengambil tanggungjawab ini
(mengendalikan pasukan) dengan berat tetapi kami perlu memandang ke hadapan.
"Saya akan bergandingan
dengan Zahasmi Ismail bagi merangka strategi terbaik untuk berdepan
Sarawak," katanya ketika dihubungi Kosmo! di Kota Bharu semalam.
Tambahnya, penyingkiran
pengendali berusia 59 tahun itu tidak mematahkan semangat pemain dan pegawai
pasukannya dan beliau menagih sokongan padu peminat tempatan bagi memastikan
kemenangan menjadi milik Kelantan malam ini.
Hashim memberitahu, dia akan
membuat sedikit perubahan taktikal memandangkan beberapa tonggak utama
dibelenggu kecederaan.
Katanya, dua tonggaknya iaitu
Muhammad Nazri Ahmad terpaksa diketepikan akibat penggantungan perlawanan
manakala Mohamed Shawky Aly yang mengalami kecederaan pangkal paha dan telah
pulang ke Mesir buat sementara waktu.
"Peluang Mohamad Ghaddar
masih 50-50 untuk diturunkan kerana saya rasa dia belum pulih sepenuhnya daripada
kecederaan.
"Saya akan menilai keadaan
semasa dua penyerang, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Md Ali dalam sesi
latihan terakhir petang ini (semalam).
"Sekiranya keadaan
memuaskan, kemungkinan besar mereka boleh disenaraikan pada pertemuan malam
esok (ini)," ujarnya.
Hashim turut mengingatkan anak
buahnya mengambil pendekatan lebih berwaspada terutama peningkatan prestasi
mendadak skuad kendalian Robert Alberts selepas mengecewakan Angkatan Tentera
Malaysia 3-2 di Kuching pada Selasa lalu.
Rujukan – KOSMO ONLINE 18.4.14
No comments:
Post a Comment