Ad

Sunday, 13 April 2014

Chong Wei banyak silap

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
 
Simon Santoso (kiri) dan Lee Chong Wei bergaya untuk jurugambar selepas menerima hadiah masing-masing di kejohanan badminton Terbuka Singapura semalam. - AFP
KUALA LUMPUR - Banyak melakukan kesilapan sendiri dan tidak terlalu fokus adalah punca utama yang menyaksikan pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei tumbang kepada Simon Santoso dari Indonesia dalam perlawanan akhir Siri Super Terbuka Singapura 2014 semalam.

Chong Wei yang masih segar dengan kejuaraan Siri Super Terbuka India minggu lalu tumpas straight set 15-21, 10-21 dalam perlawanan yang berlangsung selama 48 minit di Stadium Tertutup Singapura.

Menurut jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock, pujian harus diberikan kepada pemain Indonesia tersebut kerana mempamerkan aksi cemerlang untuk menumpaskan Chong Wei yang dianggap tidak terlalu fokus mengenai kejohanan tersebut.

“Kami memang menjangkakan Simon akan bermain dengan baik hari ini (semalam), malah Chong Wei melakukan banyak kesilapan untuk membolehkan lawan mengutip mata," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Jelasnya, tidak ada apa yang berlaku terhadap juara All England 2014 itu dan selepas ini dia akan pulang ke tanah air untuk membuat persiapan menjelang Piala Thomas di New Delhi, India yang berlangsung bulan depan.

Sementara itu, Simon yang me­rupakan pemain nombor 52 dunia berkata, dia berasa begitu puas ke­rana sudah sekian lama tidak dapat menumpaskan Chong Wei di mana kali terakhir ialah di suku akhir Siri Super Terbuka Jepun 2009.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong Indonesia dan penonton yang datang ke stadium hari ini, selepas ini saya harus mengekalkan kestabilan dalam kejohanan akan datang dan cuba untuk bermain lebih bagus," katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Simon membawa pulang wang tunai AS$22,500 (RM72,792) manakala Chong Wei meraih AS$11,400 (RM36,881) selaku naib juara dan setakat ini sudah meraih tiga gelaran musim iaitu Terbuka Malaysia pada Januari, All England (Mac) dan Terbuka India.

Perlawanan akhir wanita pula menyaksikan pemain perseorangan China, Wang Yihan menumpaskan rakan senegara, Li Xuerui 21-11, 21-19, manakala beregu lelaki juga milik negara Tembok Besar itu apabila Cai Yun-Lu Kai menumpaskan pasangan Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia-Hsin 21-19, 21-14.

China turut mengungguli acara beregu wanita apabila Bao Yixin-Tan Jinhua mengejutkan pilihan pertama dari Denmark, Christinna Pedersen-Kamilla Rytter Juhl 21-14, 19-21, 21-15.

Perlawanan akhir beregu campuran pula menyaksikan pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Liliyiana Natsir berjaya menumpaskan rakan senegara, Riky Widianto-Puspita Richi Dili 21-15, 22-20.
RUJUKAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140414/su_01/Chong-Wei-banyak-silap#ixzz2ynsQ2iX9

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment