Ad

Friday, 11 April 2014

Perak ibarat jatuh ditimpa tangga, T-Team raih kemenangan percuma

 PETALING JAYA - Nasib Perak ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.

Sudahlah menduduki tangga tercorot Liga Super ketika ini, satu mata yang diperoleh ketika seri 1-1 dengan T-Team pada 22 Mac lalu dibatalkan selepas pasukan itu didapati bersalah menurunkan pemain yang beraksi kurang daripada tempoh 48 jam.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola­sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat semalam mendapati Bos Gaurus bersalah dan memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada T-Team.

Pengumuman JKPT itu bermakna The Titans mendapat dua mata tambahan, namun ia bagaikan malapetaka buat Perak yang buat masa ini berada di tangga tercorot dan kini kehilangan satu mata yang menjadikan sekadar tujuh mata sahaja diraih anak-anak buah Abu Bakar Fadzim.

Menurut pengerusi JKPT, Datuk Seri Afandi Hamzah, mereka telah menerima bantahan daripada T-Team terhadap Perak kerana menurunkan G. Mugenthirran yang baru sahaja membantu skuad Piala Presiden berdepan Kuala Lumpur, dua hari sebelum perlawanan Liga Super.

“Jawatankuasa telah menyiasat laporan yang dibuat oleh T-Team dan mendapati apa yang mereka beritahu mempunyai kebenarannya setelah siasatan secara mendalam dilakukan.

“Pemain itu yang diturunkan pada aksi perlawanan 47 Liga Super, tidak memenuhi peraturan khusus yang ditetapkan apabila turun pada perlawanan kedua dalam tempoh tidak sampai 48 jam selepas melalui perlawanan pertama.

“Dia turun pada perlawanan pertama iaitu pada 20 Mac iaitu menentang skuad Piala Presiden Kuala Lumpur dan dua hari kemudian bersama skuad Liga Super Perak ketika berdepan T-Team, di sini jelas Perak telah melakukan kesilapan kerana tidak mematuhi tempoh rehat yang ditetapkan," katanya pada sidang akhbar JKPT, semalam.

Dalam satu lagi isu berlainan, Timbalan Pengerusi JKPT, Datuk Osman Salleh, memberitahu pihaknya telah menerima bantahan daripada pasukan Terengganu terhadap status pemain Kelantan, Mohd. Fitri Omar yang diturunkan dalam aksi kedua-dua pasukan walaupun telah mengutip tiga kad kuning.

Namun, pihak JKPT masih belum mahu membuat sebarang keputusan kerana masih ada beberapa masih ada perkara yang perlu dibuat kajian lanjut terhadap status Fitri yang baru berhijrah dari ATM.

“Pemain yang baru datang dari ATM, sebelum ini ada mendapat dua kad kuning dan sebaik sahaja dia bersama Kelantan, dia telah mengutip satu kad kuning (berdepan JDT).

“Ketika menentang Terengganu, dia telah diturunkan oleh pasukan dan dalam kes ini, kami perlu membuat kajian sama ada kita menerima atau menolak bantahan yang diajukan oleh Terengganu," katanya.

Selain itu, JKPT menolak permohonan ATM untuk menggunakan khidmat pemain Britain, Alando Nicholas Atkinson, 19, yang baru memperolehi taraf penduduk tetap bagi saingan Piala Belia.

Bagi saingan Liga FAM, aksi antara Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah dan Shahzan Muda pada 9 Mac lalu yang terpaksa ditangguhkan akan diadakan semula di Padang MADA.

Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah dihendaki membayar segala kos penginanapan dan tambang pasukan pelawat seperti mana mengiktu peraturan yang diguna pakai untuk perlawanan ulangan.
RUJUKAN
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140412/su_04/Perak-ibarat-jatuh-ditimpa-tangga-T-Team-raih-kemenangan-percuma#ixzz2ycmzb8yW

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment