Ad

Wednesday, 30 April 2014

MH370: Objek baharu ditemui

Oleh MOHD HASRIQ AMIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my
PERTH 29 April - Sebuah syarikat penerokaan maritim Australia mendakwa menemui objek di dasar laut yang dipercayai mungkin sebahagian serpihan pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu, kira-kira 5,000 kilometer dari lokasi pencarian di Lautan Hindi.

Rangkaian televisyen Australia, Channel 7 melaporkan, syarikat GeoResonance yang beribu pejabat di Adelaide, melakukan pencarian pesawat berkenaan sejak 10 Mac lalu dan mengesan objek yang berkemungkinan serpihan pesawat MAS terbabit di Teluk Benggala, semalam.

Wakil syarikat itu, Pavel Kursa berkata, pihaknya menggunakan imej satelit dan pesawat untuk meninjau kawasan seluas lebih dua juta kilometer persegi yang dipercayai lokasi pesawat yang membawa 239 penumpang terbabit hilang.

“Objek yang ditemukan di dasar laut Teluk Benggala mirip bahan yang digunakan dalam pembuatan kapal terbang.

“Kami mengenal pasti elemen kimia dan bahan yang terdapat pada pesawat Boeing 777 termasuk aluminium, titanium, tembaga, besi aloi dan bahan-bahan lain," katanya.

Seorang lagi wakil syarikat, David Pope berkata, GeoResonance menggunakan teknologi khas untuk mengesan peledak nuklear dan kapal selam bagi mencari serpihan MH370.

Bagaimanapun, Pope berkata, pihaknya cuba menghubungi pegawai yang terlibat dalam operasi pencarian itu, tetapi gagal menerima sebarang maklum balas.

“Pasukan pencarian GeoResonance teruja apabila menemukan objek yang dipercayai serpihan sebuah pesawat komersial.

“Tetapi kami tidak mahu membuat andaian objek itu milik pesawat MH370 dan kami berharap penemuan ini dapat memberi petunjuk yang baik," katanya. - AGENSI


RUJUKAN-
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140430/dn_02/MH370-Objek-baharu-ditemui#ixzz30O5t10yo

© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment