KUALA LUMPUR - Pendahulu Liga
Super, Pahang dan Kelantan menerima tamparan paling hebat dalam persaingan Liga
Super musim ini selepas masing-masing dibolosi empat gol di tempat lawan malam
tadi.
Pahang bukan sahaja
melepaskan peluang untuk mengukuhkan kedudukan di tangga teratas malah
dimalukan pasukan lawan, Lions XII selepas tewas 4-1 di Stadium Jalan Besar,
manakala Kelantan kalah 4-0 kepada Sime Darby dalam perlawanan di Stadium Selayang.
Bagaimanapun, penyandang juara
Piala Malaysia, Pahang masih kekal di tangga teratas dengan 25 mata kerana
pasukan di tempat kedua, Selangor yang hanya kurang satu mata, tidak beraksi
semalam kerana akan bertemu Arema Indonesia dalam saingan Piala AFC hari ini.
Semuanya seakan sempurna buat
pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan dalam perlawanan semalam apabila
terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Azidan Sarudin seawal minit
kelapan, tetapi jaringan Safuwan Baharuddin setengah jam selepas perlawanan
berlangsung memulakan kebangkitan Lions.
Aksi separuh masa kedua jelas
milik tuan rumah terutama pada 10 minit terakhir apabila mereka menambah tiga
lagi gol dengan Sufian Anuar meledak hatrik selepas menjaringkan gol pada minit
ke-80, 90 dan juga masa kecederaan, seterusnya membantu Lions XII melonjak ke
kedudukan keempat.
Masa depan jurulatih Kelantan,
Steve Darby pula boleh semakin runcing apabila skuad kendaliannya dimalukan
oleh pasukan di tengah carta, Sime Darby di Stadium Selayang.
Pemain baharu Sime Darby, Mateo
Roskam dari Croatia meledak jaringan hatrik dengan satu lagi jaringan
disumbangkan oleh bintang Syria, Mahmoud Al Amnah.
Kerapuhan benteng Kelantan
jelas terserlah sejak awal permainan apabila hantaran lintang Azmirul Azmi berjaya
disudahkan oleh Roskam melalui tandukan cantik pada minit keempat.
Belum sempat Kelantan mengatur
rentak pada permulaan babak kedua, Roskam sekali lagi mengejutkan 15,000
penyokong The Red Warriors dengan jaringan kedua pada minit ke-46.
Mahmoud menghukum kecuaian
Khairul Fahmi Che Mat dan Mohd. Farisham Ismail sebelum mudah menolak masuk
bola ke dalam gawang yang kosong pada minit ke-65 sebelum Roskam empat minit
kemudian memastikan kemenangan mutlak buat Sime Darby.
Penasihat Persatuan Bolasepak
Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa bagai telah menduga lebih awal akan
kekalahan itu apabila menyatakan dia tidak suka dengan kesebelasan utama yang
diturunkan Darby pada separuh masa pertama, menerusi entri terbaharu dalam
akaun Facebook miliknya malam tadi.
Di Stadium Shah Alam,
Terengganu terus gagal mencatat kemenangan apabila sekadar seri 2-2 dengan
pasukan tuan rumah, PKNS walaupun mereka berada di depan pada separuh masa
pertama menerusi jaringan Azlan Zainal pada minit ke-22 dan Marlo Karlovic,
minit 43.
PKNS bangkit pada separuh masa
kedua apabila Patrick Ronaldinho merapatkan jurang dengan jaringan pada minit
ke-63 dan P. Gunalan berjaya membantu pasukannya daripada kehilangan mata
selepas menyamakan kedudukan di minit ke-79.
Di Stadium Perak, pasukan tuan
rumah terus menderita apabila kalah 0-1 kepada Johor Darul Ta'azim (JDT) yang
memperoleh gol kemenangan menerusi Nazrin Nawi pada minit ke-15 namun pasukan
pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Amirul Hadi Zainal
dilayangkan kad merah pada minit ke-67.
Di Stadium Negeri, Sarawak
terus mengekalkan rentak cemerlang apabila mencatat kemenangan 3-2 ke atas ATM
apabila mereka memperoleh jaringan melalui Junior Eldstal pada minit ke-44, S.
Chanturu (minit 63) dan gol sendiri Norfazly Alias (minit 71).
Jaringan ATM pula disumbangkan
Juan Arostegui (minit 34) dan Christie Jayaseelan (minit 74).
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140416/su_05/Pahang-Kelantan-kena-belasah#ixzz2z3Gj0TCx
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment