Ad

Friday, 18 April 2014

Kelantan makin dirundung malang

 Oleh YATIMIN ABDULLAH
sukan@kosmo.com.my
 
GHADDAR (dua dari kiri) melepasi dua pemain pertahanan Sarawak pada aksi Liga Super di Stadium Muhammad IV, Kota Bharu malam tadi.

KELANTAN terus dirundung malang apabila tumpas 0-1 kepada Sarawak dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam.

Turun dengan misi memulihkan semula reputasi pasukan, Kelantan bermula garang dan hampir memecah kebuntuan jaringan seawal minit keenam menerusi tonggak import, Mohamad Ghaddar.

Bagaimanapun, rembatan penyerang kelahiran Lebanon itu terus ke dakapan penjaga gol Sarawak, Fadzley Rahim.

Tiga minit berselang, Francis Forkey Doe terlepas peluang untuk meledak gol pembukaan The Red Warriors apabila bola tandukannya sedikit melewati palang gol Sarawak.

Di sebalik dominasi tuan rumah, Sarawak turut memperoleh peluang jaringan pada minit ke-22 menerusi pemain sayap lincah, S. Chanturu.

Biarpun menguasai hampir keseluruhan perlawanan, namun barisan serangan Kelantan yang diketuai Ghaddar dan Forkey Doe gagal menterjemahkan setiap peluang yang dimiliki.

Bersambung babak kedua, penyerang import pelawat, Ryan Giffiths akhirnya meleraikan kebuntuan jaringan dengan meledak gol pertama pada minit ke-52 selepas bijak memanfaatkan kesilapan tonggak pertahanan Kelantan, Obinna Nwaneri.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Kelantan membuat dua pertukaran dengan membawa masuk Ahmad Fakri Saarani serta Amar Rohidan bagi menggantikan Ghaddar dan Zairul Fitree Ishak untuk menambah sengat di barisan serangan.

Sebelum itu, Sarawak hampir menambah derita The Red Warriors apabila rembatan padu Chanturu menggegar tepi jaring gol Kelantan pada minit ke-65.

Sarawak seharusnya berterima kasih kepada Fadzley yang bertindak cemerlang dengan menafikan beberapa peluang terbaik dimiliki Kelantan dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat perlawanan.

Di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Darul Takzim (Johor DT) menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila menang 2-1 ke atas T-Team.

Luciano Figueroa meledak kedua-dua gol buat Johor DT manakala T-Team memperoleh jaringan tunggal menerusi Leandro Dos Santos.

RUJUKAN-KOSMO ONLINE 19.4.14

No comments:

Post a Comment