Ad

Wednesday, 16 April 2014

Mampukah Tok Gajah terus bertahan?

 
Matias Conti (depan) bakal menjadi sandaran Tok Gajah apabila bertandang ke Singapura untuk menentang LionsXII malam ini.
KUALA LUMPUR - Perlawanan Liga Super buat kali ke-13 malam ini bakal menguji pendahulu liga, Pahang apabila mereka berkunjung ke Stadium Jalan Besar untuk menentang LionsXII yang masih lagi terluka dengan kekalahan kepada Sime Darby Sabtu lalu di gelanggang yang sama.

Stadium tersebut yang dahulunya menjadi gelanggang pa­ling digeruni dilihat mudah dikuasai pasukan lawan seperti Sime Darby, Kelantan dan juga Pahang sendiri yang pernah mencatat kemenangan di pusingan kedua Piala FA Februari lalu.

Bagaimanapun, timbul persoalan sekarang ini mampukah Tok Gajah mengulangi pencapaian cemerlang itu hari ini bagi mengukuhkan kedudukan mereka di takhta liga selepas beraksi tujuh perlawanan tanpa kalah sejak mereka membelasah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 8 Mac lalu di Stadium Darul Makmur.

Pasukan bimbingan Fandi Ahmad pula ibarat Singa Selatan yang terluka dan mereka perlu segera bangkit untuk kembali berada di kelompok teratas liga selepas cemerlang musim lalu muncul juara buat kali pertama.

Matias Conti dan Fauzi Roslan sekali lagi dijangka menjadi tonggak harapan buat pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan untuk memburu gol seterusnya membawa pulang tiga mata penuh.

Pahang mungkin berasa sedikit lega kerana mereka akan terus kekal di tangga teratas apabila pasukan di tangga kedua, Selangor yang dibezakan satu mata tidak beraksi pertengahan minggu ini kerana menentang Arema dalam saingan Piala AFC esok.

Dua pasukan Pantai Timur, Kelantan dan Terengganu yang berkongsi 20 mata di tempat ketiga dan keempat juga perlu segera mencatat kemenangan untuk terus merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga.

Kelantan akan menentang Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, manakala Terengganu berkunjung ke Stadium Shah Alam bertemu PKNS.

Anak buah Steve Darby perlu berhati-hati dalam pertemuan dengan Sime Darby yang masih segar dengan kemenangan ke atas LionsXII namun setakat ini mereka cemerlang dua kemenangan berturut-turut, di mana kedua-duanya ketika menentang ATM di tempat lawan dan gelanggang sendiri.

Terengganu pula perlu bangkit dan melupakan kekalahan memilukan kepada Sarawak di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan di atas kertas mereka tidak mempunyai masalah untuk menumpaskan PKNS yang belum pernah menang sejak lima perlawanan berturut-turut.

RUJUKAN – UTUSAN MALAYSIA ONLINE

No comments:

Post a Comment