DUA tonggak yang mampu
menentukan hajat Liverpool untuk merebut kejuaraan liga musim ini tercapai atau
pun tidak iaitu Suarez (kanan) di posisi serangan dan Martin Skrtel di posisi
pertahanan.
LONDON - Liverpool berdepan
dengan misi untuk mengekalkan rentak kemenangan dalam usaha merebut kejuaraan
Liga Perdana England musim ini ketika berkunjung ke Norwich City, malam esok.
Minggu lalu, The Reds berjaya
menewaskan pencabar terdekat, Manchester City 3-2 sekaligus meletakkan pasukan
bimbingan Brendan Rodgers itu dalam landasan terbaik untuk menjulang liga buat
pertama kali sejak 1990.
Kemenangan ke atas The Citizens
adalah kemenangan ke-10 berturut-turut buat Liverpool dan pertemuan menentang
Chelsea pada 27 April depan adalah medan penentuan buat kedua-dua pasukan ini
untuk ditabalkan sebagai juara liga yang baharu.
Begitupun, kapten The Reds,
Steven Gerrard mahu barisan pemain-pemain agar memberikan fokus kepada
pertemuan menentang Norwich berbanding memikirkan kejuaraan Liga Perdana
England.
Sepanjang empat pertemuan
dengan Norwich, Liverpool berjaya meledak 18 gol termasuk menerusi penyerang,
Luis Suarez yang berjaya menjaringkan empat gol ketika membelasah The Canaries
itu 5-1 pada aksi terakhir, Disember lalu.
Norwich pula berada dalam
keadaan terdesak untuk mendapatkan sekurang-kurang satu mata dalam usaha
mengelak daripada tersingkir ke liga bawahan musim depan.
Ini kerana Norwich menyedari
mereka harus bekerja lebih keras memandangkan kelab England itu bakal
dijadualkan menentang Manchester United, Chelsea dan Arsenal selepas aksi
Liverpool.
Mengulas mengenai perlawanan
menentang Norwich, Suarez menegaskan pasukannya sudah bersedia untuk
mengekalkan rentak kemenangan.
"Inilah peluang kami dan
Liverpool tidak boleh mensia-siakan tawaran sebegini (untuk menjadi juara Liga
Perdana England).
"Kami tidak mahu terlalu
yakin tetapi keyakinan itu harus ada pada setiap pemain Liverpool.
"Jika kami mengambil
ringan terhadap cabaran Norwich, tidak mustahil peluang untuk menjuarai Liga
Perdana England semakin pudar," katanya. - AFP
RUJUKAN-KOSMO ONLINE 19.4.14
No comments:
Post a Comment