ANGGOTA AADK membuat ujian air
kencing terhadap dua pemandu bas ekspres sambil diperhatikan oleh Saiful Azzri
(tiga dari kiri) dan Aziz Musa (kanan sekali) ketika mengadakan operasi khas
bas di stesen bas Terminal One, Seremban, Negeri Sembilan, semalam. -
UTUSAN/Abd. Razak Aid
SEREMBAN 30 April - Dadah
sintetik jenis syabu dikenal pasti menjadi pilihan segelintir pemandu bas
kerana beranggapan pengambilannya mampu memberi keupayaan kepada mereka untuk
bekerja dalam tempoh panjang.
Pengarah Jabatan Pengangkutan
Jalan (JPJ) negeri, Saiful Azzri Hamzah berkata, trend itu amat ketara melalui
hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap pemandu bas setiap kali
operasi dilakukan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Dahulu sebelum wujudnya dadah
sintetik ini, ramai pemandu bas didapati menggunakan ganja, namun kini trend
itu telah beralih ke syabu.
Penggunaan syabu amat popular
kerana kesan ganja hanya bertahan dalam tempoh singkat, sedangkan mereka
(pemandu bas) mengatakan kesan syabu membolehkan mereka bertahan dalam tempoh
berjam-jam,'' katanya.
Beliau berkata demikian kepada
pemberita selepas menghadiri operasi khas bas di stesen bas Terminal One di
sini malam tadi.
Yang turut hadir, Ketua
Cawangan Pengesanan dan Pengawasan AADK negeri, Aziz Musa.
Jelasnya, dadah sintetik
menjadi pilihan kerana dipercayai pemandu terbabit ingin mengejar jumlah
perjalanan, sekali gus menambah pendapatan mereka.
Katanya, gejala itu amat
membimbangkan kerana mendorong kepada risiko berlakunya kemalangan terutama
melibatkan kenderaan bas yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.
Kita amat memandang serius
perkara ini kerana pengambilan sebarang dadah terlarang terutamanya melibatkan
pemandu bas ini seperti memperjudikan nyawa penumpang.
Mana-mana pemandu yang ditahan
dan didapati mengambil dadah, pihak kami tidak akan teragak-agak untuk
membatalkan lesen pemanduan mereka,'' tegasnya.
Mengulas lanjut berhubung operasi
khas berkenaan, Saiful Azzri memberitahu, pihaknya telah mengeluarkan sebanyak
35 saman di atas pelbagai kesalahan terhadap syarikat dan pemandu bas dalam
operasi yang dijalankan sejak 21 April hingga hari ini.
Kesemua saman itu dikeluarkan
melalui 114 buah bas yang diperiksa dalam tempoh berkenaan melalui operasi khas
di stesen bas dan penyamaran anggota di dalam bas.
Antara kesalahan yang dikenal
pasti termasuk aspek teknikal seperti cermin, tayar, lampu dan brek selain
kegagalan pemandu mematuhi pematuhan jalan raya seperti merokok, menggunakan
telefon bimbit serta memandu di lorong laju,'' katanya.
Sementara itu, Aziz
memberitahu, daripada 299 pemandu yang diperiksa, tiga orang didapati positif
syabu melalui ujian air kencing yang dijalankan.
Ketiga-tiga pemandu yang
berusia 30 hingga 45 ini telah ditahan dan mereka akan didakwa mengikut Seksyen
15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabit kesalahan mereka
boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau
kedua-duanya jika disabit kesalahan,'' ujarnya.
RUJUKAN-
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140501/je_06/Pemandu-bas-pilih-syabu-kejar-jumlah-perjalanan#ixzz30Pm5fdl2
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment