30 November 2015 12:17 AM
TUNKU Mahkota Johor, Tunku
Ismail Sultan Ibrahim (kanan) menenangkan pemain JDT, Luciano Figueroa selepas
pasukan itu tewas kepada Felda United dalam suku akhir kedua Piala Malaysia di
Larkin, kelmarin. Utusan/NUR AISYAH MAZALAN
JOHOR BAHRU – Biarpun gagal
memburu kejuaraan treble selepas tersingkir dalam suku akhir Piala Malaysia,
namun jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez menyifatkan 2015 tetap
musim terbaik buat Harimau Selatan itu.
Kejayaan muncul kelab Malaysia
pertama merangkul Piala AFC mengetuai musim gemilang JDT, selain berjaya
mempertahankan kejuaraan Liga Super dan memulakan musim baharu dengan dinobat
sebagai juara Piala Sumbangsih.
Menurut Gomez, tuah nyata tidak
menyebelahi Harimau Selatan ketika ditunjukkan jalan keluar oleh Felda United
pada suku akhir kedua kelmarin, apabila melakukan kesilapan yang menghukum diri
dan gagal menyempurnakan banyak peluang untuk mencipta jaringan.
Dalam perlawanan di Stadium Tan
Sri Hassan Yunos, Felda United melakar kemenangan sensasi 2-1 menerusi sepakan
penalti yang disempurnakan oleh Fernandes Augusto di awal permainan selepas
bola terkena tangan Harris Harun dalam kotak penalti.
Biarpun Safiq Rahim berjaya
menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-51, namun jaringan cantik Zah Rahan
Krangar pada minit ke-76 memastikan kemaraan The Fighters ke separuh akhir
menerusi agregat 3-2, sekali gus meleburkan rekod kebal 40 perlawanan tanpa
kalah JDT di Larkin sejak 2013.
“Pemain kami turut menghasilkan
beberapa peluang baik, malangnya gol tandukan Hariss dibatalkan pengadil, malah
dia tidak menghadiahkan penalti selepas Mahalli (Jasuli) dijatuhkan pemain
lawan dalam kotak penalti.
“Saya tidak mahu meletakkan
kekalahan ini atas beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan
kerana Felda juga bermain dengan amat baik.
“Kami juga bermain dengan baik,
namun tuah tidak memihak kepada JDT. Bagaimanapun, saya berpuas hati dan
gembira dengan pencapaian pemain dan ini adalah musim terbaik bagi kami,” kata
Gomez.
Pengendali berusia 58 tahun itu
menyifatkan musim 2015 sebagai musim terbaik Harimau Selatan selepas
mengekalkan kejuaraan Liga Super dua musim berturut-turut dan lebih
membanggakan apabila menjulang Piala AFC.
Gomez berikrar untuk
memperkuatkan JDT pada musim hadapan dengan membawa masuk pemain import baharu
bagi mengharungi musim 2016.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/2015-musim-terbaik-jdt-1.163727#sthash.O1RRVubT.dpuf